Sains & Teknologi

Dunia Air

olehNoor Syafiqah Jamal
March 2024

Kepentingan Air

Tahukah anda bahawa tujuh puluh peratus daripada dunia kita merupakan air? Air ialah sumber kehidupan yang tidak dapat digantikan. Bagi haiwan dan manusia, air merupakan sumber minuman yang diperlukan untuk penakatan. Tumbuh-tumbuhan pula memerlukan air supaya dapat hidup subur.

Tumbuh-tumbuhan ini kemudiannya menjadi bahan makanan kepada manusia dan juga haiwan. Jelas di sini air merupakan sumber asas yang diperlukan untuk meneruskan ekosistem di muka bumi ini.

Water Cycle Diagram

Kitaran Air

Air ialah satu elemen unik kerana ia boleh didapati secara semula jadi dalam bentuk pepejal, cecair atau gas. Apabila sumber air seperti lautan dan sungai mengalami peningkatan suhu, air akan menyejat menjadi wap. Proses pemeluwapan kemudian menghasilkan titis-titis air yang berkumpul hingga menjadi awan. Awan yang terhasil akan terapung di atas lautan atau tanah yang sejuk dan apabila menjadi sarat, ia akhirnya akan jatuh sebagai hujan atau salji. Hujan dan salji yang jatuh di atas tanah pula akan menyerap masuk ke dalam tempat yang rendah atau mengalir ke bawah bukit lalu mengalir ke dalam sungai. Akhirnya, ia akan mengalir ke laut, memulakan kitaran air semula.

Air Tawar

Air tawar merangkumi sekitar tiga peratus daripada air dunia. Daripada tiga peratus itu, tujuh puluh peratus berbentuk ais. Air tawar mengandungi kandungan garam dan mineral yang amat sedikit. Maka itu, ia dapat diminum oleh manusia. Air tawar terdapat dalam glasier, tasik, kolam, sungai, anak sungai, tanah lembap dan juga air bawah tanah. Sumber air tawar terhasil melalui air laut yang telah tersejat lalu turun kembali dari segi hujan. Hujan yang turun di atas pergunungan akan menghasilkan aliran tinggi dan kemudian mengalir hingga terciptanya sumber air tawar. Air tawar merupakan rumah buat 10 peratus daripada populasi haiwan di dunia ini. 40 peratus daripada semua spesies ikan juga boleh didapati dalam air tawar.

Air Laut

Lautan sangat luas dan merangkumi 75 peratus permukaan bumi. 97 peratus air merupakan air laut iaitu air masin. Air laut tidak boleh diminum kerana ia mengandungi kandungan garam yang tinggi. Setiap satu liter air laut mempunyai 35 gram garam. Air masin menyediakan hampir separuh daripada oksigen di planet ini. Ekosistem air masin mengambil karbon dan mengubahnya menjadi oksigen. Walaupun air masin tidak dapat diminum oleh manusia, banyak hidupan yang ada di laut bergantung kepada air garam bagi kewujudan mereka.

Air Berat

Selain air tawar dan air laut, sebenarnya terdapat beberapa jenis air lain. Salah satunya ialah air berat atau lebih dikenali sebagai heavy water yang ditemui oleh Harold C. Urey. Air ini merupakan deuterium monoksida. Ini bermaksud terdapat satu atau lebih daripada atom hidrogennya merupakan atom deuterium. Walaupun air berat tidak sesuai untuk diminum oleh manusia, ia sangat berguna bagi kegunaan kajian-kajian sains.

Pencemaran AirPencemaran Air, Apa Saja Penyebab dan Dampaknya? | kumparan.com

Kepentingan air dalam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak dapat dinafikan. Namun, air tetap digunakan dengan sewenang-wenangnya.Yang lebih mengecewakan, sumber-sumber air yang sedia ada tidak dijaga dengan baik, malah dikotori. Ini mengundang masalah yang akan menimbulkan kesan negatif terhadap ekosistem yang sedia ada.

Habitat-habitat air tawar mahupun air laut akan terjejas secara mendadak akibat aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, pembuangan sisa toksik dari kilang-kilang dan juga amalan pertanian yang tidak bertanggungjawab menyebabkan air sungai tercemar. Tumpahan minyak dan pembuangan sampah di lautan pula telah memusnahkan banyak hidupan marin.

Justeru, kita sebagai manusia berakal sudah semestinya menjaga kebersihan sumber air yang terhad serta kelestariannya. Setiap perbuatan pasti ada kesannya, apatah lagi dalam sebuah ekosistem di mana nasib kita saling berkait. Setinggi mana pun kemajuan teknologi manusia, penakatan kita akan terancam jika kita tidak memelihara sumber alam yang dianugerahkan kepada kita.

 

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Evolusi Teknologi – Kebaikan dan Keburukan