Cergas Cerdas

Kepentingan Sarapan

olehCikgu Siti Nurhidayah Binte Abdul Aziz
January 2016

Sarapan pagi merupakan perkara yang amat penting dan seharusnya dijadikan rutin wajib setiap hari. Malangnya, ramai yang meninggalkan sarapan pagi, lebih-lebih lagi para pelajar dengan alasan tiada selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat menyediakan makanan ringan kerana bangun lewat. Jika anda sering mengabaikan sarapan pagi, ada baiknya anda teruskan membaca untuk mengetahui tiga faedah pengambilan sarapan.

  1. Sumber Tenaga
    Tubuh badan berpuasa selama hampir lapan jam atau lebih pada saat kita tidur. Justeru itu, kadar gula dalam tubuh agak rendah apabila kita bangun daripada tidur. Oleh itu, pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sewaktu sarapan pagi akan membekalkan tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari yang cergas. 

  2. Kecerdasan Otak
    Sarapan dapat membantu meningkatkan kognitif otak, memori dan konsentrasi yang lebih tinggi. Pengambilan karbohidrat seperti roti dan bijirin pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak.

  3. Kurangkan Masalah Berat Badan & Kesihatan
    Ramai yang sengaja melewatkan waktu bersarapan dengan sangkaan dapat mengawal berat badan. Pakar berpendapat bahawa seseorang yang lewat bersarapan lebih cenderung untuk makan berlebihan pada waktu makan tengah hari. Oleh itu, sarapan akan mengawal kestabilan metabolisme dan mengelakkan kita daripada pengambilan kalori yang berlebihan sepanjang hari bahkan dapat mencegah daripada penyakit-penyakit kronik.

Dengan itu, “Ayuh mulakan hari anda dengan sarapan yang sihat setiap hari!”

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Lima Jenis Makanan Melayu Yang Sihat