Kurik Kundi

Mengenali Syair

olehCikgu Nur Fadhillah Musa
June 2024

Menerusi edisi-edisi majalah Kembara NUSA yang lalu, kita telah melalui sebuah pengembaraan bersama untuk mendekati sejenis puisi tradisional Melayu yang popular iaitu pantun. Kini, kita akan menelusuri suatu lagi bentuk puisi tradisional Melayu yang dikenali sebagai syair. Syair ialah puisi berlagu. Menurut para sasterawan, syair dipercayai berasal dari Parsi, yang kini dikenali sebagai negara Iran. Syair dibawa masuk ke Nusantara Melayu bersama kedatangan Islam.

Setelah kedatangannya, syair diubah suai mengikut kesesuaian bahasa Melayu klasik pada ketika itu. Perkataan “syair” berasal daripada bahasa Arab, iaitu “Shi’r”, yang bererti “perasaan yang menyedari”. Oleh itu, “syair” membawa maksud, bahasa yang indah yang berupaya untuk membangkitkan perasaan orang yang mendengarnya.

Secara asasnya, syair merupakan sejenis puisi terikat. Setiap rangkap dalam syair mempunyai empat baris. Setiap baris mengandungi empat atau lima bilangan perkataan. Juga, setiap baris mengandungi lapan hingga dua belas suku kata. Dalam syair, rima akhir perlu sama bagi setiap rangkap. Rima akhir ini penting untuk memudahkan syair dilagukan. Di bawah ini merupakan sebuah rangkap daripada Syair Burung Pungguk:

Pertama mula Pungguk merindu,
     Berbunyilah guruh mendayu-dayu,
Hatinya rawan bercampur pilu, 
     Seperti dihiris dengan sembilu.

Berbeza dengan pantun, syair tidak mempunyai pembayang. Setiap baris dalam syair merupakan sebahagian daripada idea, maksud atau isi cerita syair tersebut. Hal ini bermaksud bahawa sebuah syair merupakan sebuah kisah yang lengkap. Oleh itu, setiap rangkap syair tidak boleh berdiri secara sendiri. Terdapat kesinambungan dari satu rangkap syair ke rangkap yang seterusnya. Lantaran itu, pembaca perlu mengetahui keseluruhan syair untuk memahami mesej yang ingin disampaikan lewat syair tersebut. Di bawah ini merupakan dua rangkap daripada Syair Siti Zubaidah, yang mana kita dapat memerhatikan kesinambungan cerita tentang Siti Zubaidah dari rangkap pertama ke rangkap kedua.

Mulutnya manis bijak laksana,
     Barang lakunya semanya kena,
Putih kuning unsur sederhana, 
     Memberi hati gundah gulana.
Dapatlah nama Puteri Zubaidah, 
     Awal dan akhir tidak sudah,
Sebarang lakunya memberi faedah, 
     Menundukkan orang terlalu mudah.

Dalam khazanah Melayu, fungsi syair ialah untuk menyampaikan cerita yang panjang. Berdasarkan tema, isi dan mesej yang ingin disampaikan dalam setiap syair, syair dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu syair naratif dan syair bukan naratif. Syair naratif dapat dibahagikan lagi kepada empat jenis iaitu:

  1. Syair Romantik, sebagai contoh: Syair Bidasari Lahir
  2. Syair Sejarah, sebagai contoh: Syair Singapura Terbakar
  3. Syair Panji, sebagai contoh: Syair Abdul Muluk
  4. Syair Kiasan, sebagai contoh: Syair Ikan Terubuk

Syair bukan naratif pula boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

  1. Syair Agama, sebagai contoh: Syair Hukum Nikah
  2. Syair Nasihat atau Pengajaran, sebagai contoh: Syair Hukum Fara’idh

220+ Old Book With Feather Pen Stock Photos, Pictures & Royalty-Free Images - iStockSeperti yang dinyatakan pada awal rencana ini, syair merupakan puisi berlagu. Oleh itu, terdapat pelbagai irama yang telah wujud untuk melagukan syair. Irama yang sering didendangkan ialah Irama Selendang Delima. Irama Siti Zubaidah pula mempunyai tempo yang lebih pendek dan lebih tangkas. Di antara irama-irama lain ialah Irama Siti Zawiyah dan Irama Dandan Setia.

Secara kesimpulannya, syair merupakan jenis puisi tradisional yang popular bagi masyarakat Melayu. Selain pantun, terdapat bilangan yang besar bagi syair yang telah ditulis pada zaman dahulu. Pada masa kini, syair masih lagi diajarkan kepada murid-murid di sekolah, termasuk juga di Singapura.

Meskipun begitu, mendendangkan syair bukanlah sesuatu yang patut diremehkan. Cara mendendangkan syair dengan betul memerlukan bimbingan daripada seseorang yang mahir melagukan irama-irama syair. Latihan yang bersungguh-sungguh diperlukan untuk memastikan irama syair yang dipilih dapat didendangkan dengan alunan yang merdu. Oleh itu, apa lagi yang ditunggu-tunggukan? Ayuhlah kita semarakkan dendangan syair dengan mempelajari irama syair yang baharu!

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Pantun Dalam Lagu