Kembara NUSA kali ini ingin membawa para pembaca mengenali bintang bola jaring kita iaitu Nur Hanis Marissa bte Nur Hisham. Gadis tinggi lampai berusia 15 tahun ini merupakan Kapten Bersama bagi pasukan bola jaring Sekolah Sukan Singapura. Marissa bermain sebagai Penyerang Gol (Goal Attack) dan juga Penjaring Gol (Goal Shooter).
Apabila ditanya tentang sebab beliau memilih untuk menyertai Sekolah Sukan Singapura, Marissa telah menyatakan keinginannya untuk berlatih sepenuh masa supaya dapat mencapai cita-citanya memenangi pingat emas untuk Singapura. Jadual hariannya memang sangat padat dan bermula seawal 6:00 pagi hinggalah ke pukul 10 malam. Jika sekolah-sekolah lain hanya dapat mengadakan sesi latihan sukan 2 atau 3 kali seminggu selepas waktu sekolah, Marissa dan teman-teman sepasukannya dapat berlatih setiap hari sebelum dan selepas waktu pembelajaran di kelas. Mereka hanya akan dibenarkan pulang ke rumah pada hujung minggu.
CONTOH JADUAL HARIAN SEKOLAH SUKAN SINGAPURA
Masa |
Aktiviti |
6.00pg – 7.30pg |
Latihan / Sarapan |
7.30pg – 8.40pg |
Sarapan / Pembelajaran di Bilik Darjah |
8.50pg – 9.00pg |
Perhimpunan pagi |
9.00pg – 11.15pg |
Pembelajaran di Bilik Darjah |
11.15pg – 11.55pg |
Makan tengah hari |
11.55pg – 1.55ptg |
Pembelajaran di Bilik Darjah |
2.00ptg – 4.00ptg |
Kelas Tambahan / Program Pembangunan Pelajar |
4.00ptg – 6.00ptg |
Latihan / Sesi ulang kaji |
6.00ptg – 7.30mlm |
Makan malam |
7.45mlm – 9.30mlm |
Sesi ulang kaji |
9.30mlm – 10.00mlm |
Snek malam |
10.00mlm – 10.15mlm |
Tidur |
Menurut Marissa lagi, jadual yang padat dan sangat teratur ini sebenarnya membantu dirinya mengimbangi masa antara sukan dan pelajaran. Walau bagaimanapun, kehidupan berasrama penuh pada mulanya memang sukar kerana beliau terpaksa berjauhan daripada keluarga besarnya seramai 9 orang (Marissa anak kedua daripada 7 beradik!). Kecekalan Marissa ternyata diwarisi daripada kedua orang tuanya, Puan Didi Mardiana Jumadi dan Encik Nur Hisham Adam. Keluarga mereka pernah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang mengerikan pada tahun 2012. Namun berkat ketabahan mereka serta doa orang-orang yang tersayang, pengalaman pahit ini telah mengutuhkan lagi hubungan kekeluargaan mereka.
Segala pengorbanan Marissa sekeluarga ternyata berbaloi apabila beliau dianugerahkan Biasiswa SOF-Peter Lim baru-baru ini. Anugerah ini diberikan kepada para olahragawan dan olahragawati muda yang sangat cemerlang dalam bidang masing-masing. Antara pemenang anugerah berprestij ini ialah Joseph Schooling, wira pasukan renang Singapura. Tahun lepas Marissa merupakan salah seorang anggota pasukan bola jaring kebangsaan Singapura untuk kategori 14 tahun ke bawah. Pada bulan Mac tahun ini pula pasukan beliau telah menjuarai Liga Dunia Sekolah Antarabangsa.
Kembara NUSA ingin mengucapkan syabas kepada Nur Hanis Marissa atas kejayaan beliau sejauh ini. Semoga Marissa akan terus cemerlang dalam sukan yang diceburinya dan dapat mengikut jejak ayahnya Encik Nur Hisham Adam, seorang bekas tekong pasukan Sepak Takraw Kebangsaan Singapura, dalam mengharumkan nama negara.