Wawancara Khas

Genggam bara api biar sampai jadi arang

olehCikgu Faradilah bte Mohd Yaakop
January 2016

Genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Pepatah Melayu sememangnya tidak pernah lekang daripada menyisipkan nasihat-nasihat yang boleh dijadikan tauladan kepada kita semua. Begitulah juga prinsip seorang pelajar Edufront, Ahmad Irfan Bin Ahmad Kamal, yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh sehingga meraih pencapaian yang cemerlang dalam pelajaran dan juga PSLE pada tahun lalu.

Ahmad Irfan, bekas pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, mendapat keputusan A untuk Matematik dan A* untuk Sains dalam PSLE. Namun, keputusan yang cemerlang ini tidak datang semudah itu sahaja. Pelajar berusia 13 tahun ini dan pernah ditawarkan biasiswa oleh Madrasah Arabiah dan Madrasah Aljunied, telah banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam memastikan dirinya sentiasa cekal dalam usaha menuju cita-citanya.
Sepanjang 2015, atas dorongan ibunya, Ahmad Irfan telah mengikuti kelas tuisyen Edufront di cawangan Pasir Ris bagi subjek Matematik dan Sains pada setiap hari Isnin dan Ahad. Keletihan yang dirasakan oleh diri Ahmad pasti tidak dapat dielakkan.

“Saya mempunyai kelas tambahan hampir setiap hari. Tugasan-tugasan yang diberikan oleh guru sekolah saya juga perlu diselesaikan. Ini membuatkan saya kurang masa untuk melakukan kerja-kerja sekolah yang lain pada hujung minggu,” ujar Ahmad Irfan.

Menurut beliau lagi, jadual hariannya yang sangat padat telah sedikit sebanyak menjejas masa lapangnya. Kegiatan bersama keluarga juga berkurangan. Seandainya semua tugasan sekolah selesai, barulah beliau berkesempatan untuk bersantai serta bermain-main bersama adik-adiknya. Jika menghadapi tekanan pula, beliau akan melukis.

Namun, di sebalik cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Ahmad Irfan, pelajar menengah satu di Sekolah Victoria ini, tetap tegar untuk terus gigih berusaha demi mencapai apa yang dicitakannya.

“Sepupu-sepupu saya menjadi sumber inspirasi saya. Mereka sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Ini menjadikan saya bersemangat untuk berjaya,” Ahmad Irfan menyambung lagi.

Selepas menghadiri kelas tuisyen Edufront, Ahmad Irfan menyatakan beliau lebih fokus terhadap pelajaran. Beliau dibimbing untuk menyediakan teknik-teknik pembelajaran yang berkesan. Melalui cara ini, beliau mendapati bahawa sesi pembelajaran menjadi lebih seronok, sistematik dan tidak membosankan. Selain itu, Ahmad Irfan turut memuji guru tuisyennya, Encik Yang Iskandar, yang membantu dirinya untuk memahami konsep-konsep yang susah sehingga beliau mampu memahaminya.

Beliau juga tekun mengulangkaji subjek Bahasa Melayu. Beliau banyak membuat latihan kertas-kertas PSLE yang lalu bagi memperbaiki mutu bahasa Ibunda. Ahmad Irfan juga beruntung kerana turut dibimbing oleh ibu saudaranya dalam mempertingkatkan lagi kualiti karangan. Beliau, bersama ibu saudaranya itu, akan menelaah banyak frasa berbunga supaya dapat mengarang cerita dengan lebih baik. Walaupun begitu, Ahmad Irfan tidak pernah sesekali merasakan segala yang beliau lakukan sebagai satu bebanan. Apa yang dikejar beliau ialah kejayaan mendapat keputusan yang cemerlang dalam PSLE dan sekaligus, mengharumkan nama keluarga serta masyarakat Melayu.

Sebagai seorang murid yang sentiasa aktif, Ahmad Irfan pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan robotiks tahun lalu. Pertandingan Asia Pacific Youth Robotics yang disertainya merupakan satu pengalaman yang sangat berharga bagi dirinya. Secara tidak langsung, beliau menyedari bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa tekad dan usaha gigih.

“Tiada rahsia di sebalik kejayaan. Perkara yang penting ialah sentiasa meletakkan wawasan yang tinggi terhadap apa yang kita mahukan. Selepas itu, kita mesti membuat yang terbaik demi mencapai impian kita. Bagi saya, apabila saya mengimpikan sesuatu, saya akan bekerja keras. Tiada kerja keras, tiada kejayaan,” Ahmad Irfan menutup perbicaraannya sambil menyatakan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk menyarankan kepada semua agar mengikuti kelas tuisyen yang dianjurkan oleh Edufront.

Sesungguhnya Ahmad Irfan amat peka akan jerih payah yang perlu dilalui jika mahu berjaya. Namun, yang pasti, beliau juga turut bersedia bagi menghadapi apa sahaja cabaran dengan penuh tekad dan kecekalan. Usaha tangga kejayaan. Syabas, Ahmad Irfan!

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Bersama Penggiat Seni Teater Tempatan: Encik Hafiz Bin Yusof