Perubahan iklim merupakan perubahan jangka panjang dalam distribusi pola cuaca. Dalam erti kata lain, cuaca menjadi tidak menentu. Kehidupan atas bumi bergantung pada tenaga matahari. Gas rumah hijau memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keseimbangan antara tenaga matahari yang keluar dan masuk ke dalam bumi. Kesan rumah hijau merujuk kepada kebolehan atmosfera untuk memerangkap haba matahari, sekaligus menaikkan suhu bumi. Ia sering berkonotasi negatif sebagai punca pemanasan global. Namun, kesan rumah hijau sebenarnya membawa manfaat kerana ia diperlukan untuk penakatan atas bumi. Tenaga matahari yang tidak mencukupi akan menyebabkan sebuah planet, seperti, Marikh terlalu sejuk untuk didiami. Sebaliknya, tenaga matahari yang berlebihan akan menyebabkan sebuah planet, seperti Zuhrah, terlalu panas untuk didiami. Hakikatnya, suhu bumi tidak akan menjadi sesuai buat manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan tanpa kesan rumah hijau.
Sama seperti kesan rumah hijau, radiasi ultraungu juga ada baik buruknya. Radiasi ultraungu matahari membantu dalam pembentukan vitamin D dalam kulit. Walau bagaimanapun, pendedahan berlebihan kepada radiasi ultraungu berbahaya kerana ia merupakan faktor utama penyakit barah kulit. Dalam hal ini, kewujudan lapisan ozon amatlah penting kerana ia menyerap radiasi ultraungu yang berbahaya agar dapat menghindarinya daripada mencecahkan permukaan bumi.
Malangnya, kesan rumah hijau tidak lagi menjanjikan keseimbangan kerana terlalu banyak gas rumah hijau seperti karbon dioksida dilepaskan ke udara. Lapisan ozon pula semakin menipis kerana kimia seperti klorofluorokarbon mencemarkan udara. Keadaan ini menyebabkan cuaca tidak menentu. Justeru, berlakunya fenomena perubahan iklim. Fenomena ini kini menjadi isu yang meruncing kerana ia menjejas kehidupan di atas muka bumi. Sebelum kita mengambil langkah untuk menangani isu ini, kita harus siasat punca berlakunya perubahan iklim.
Menurut para saintis, punca utama berlakunya pemanasan global ialah kesan rumah hijau yang berkembang akibat aktiviti manusia. Sejak abad yang lalu, pembakaran bahan api fosil seperti minyak telah menambah konsentrasi karbon dioksida di atmosfera. Proses pembakaran menggabungkan elemen karbon dan oksida di udara menjadi karbon dioksida. Aktiviti manusia lain seperti penghasilan kuasa elektrik dan pembuatan pengangkutan turut meningkatkan konsentrasi gas rumah hijau. Akibatnya, suhu bumi menginjak tinggi.
Indeks haba yang tinggi mampu mencairkan glasier di kawasan sejuk seperti Antarktika hingga menaikkan paras laut. Perkara ini bukan sesuatu yang remeh kerana terdapat kemungkinan bahawa pada masa depan, glasier akan pupus tanpa kita sedari. Suhu yang tinggi akan mengakibatkan musim kemarau yang lebih panjang. Ini bukan sahaja menjejas tanaman manusia, ia juga menjejas ekosistem. Selain itu, penebangan hutan demi pembangunan dan pengindustrian memusnahkan habitat haiwan yang tinggal di dalam hutan serta tumbuh-tumbuhan yang menyerap gas rumah hijau yang berlebihan. Apabila perkara ini kerap berlaku, beberapa spesis haiwan akan pupus dan pemanasan global akan berterusan. Statistik menunjukkan bahawa 1.1% gunung tropika dan hutan tanah tinggi dibasmikan setiap tahun. Ini membuat risiko ekosistem terjejas dengan perubahan iklim yang lebih tinggi. Apakah ini yang kita inginkan?
Memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mengawal bencana alam mahupun pemanasan global. Namun, manusia boleh membuat pilihan atas setiap tindakan yang ingin diambil. Sebagai sebuah organisasi yang berpengaruh, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) telah meletakkan Protokol Kyoto sebagai suatu panduan buat negara-negara dalam pembebasan gas karbon dioksida. Protokol Kyoto ialah sebuah persetujuan antara negara-negara untuk mengehadkan kadar gas karbon dioksida yang dikeluarkan ke udara. Jika setiap negara yang terlibat mematuhi peraturan dalam protokol tersebut, matlamat untuk mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida dapat dicapai. Walaupun langkah sebegini mungkin tidak menunjukkan keberkesanannya, ia merupakan langkah pertama dalam usaha untuk mencapai matlamat mesra alam.
Pihak pemerintah memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Ini dapat dilakukan dengan membina sebuah bangunan yang mesra alam dan bertemakan alam sekitar. Sebagai contoh, Taman di Persisiran dibina untuk menegaskan lagi wawasan Singapura untuk menjadi sebuah negara bandar di dalam taman. Para pengunjung dapat menikmati keindahan alam sambil menimba ilmu tentang biodiversiti dan sebagainya. Pelbagai fakta seperti jenis haiwan yang tinggal di dalam hutan dan habitat yang kian pupus disediakan sebagai santapan minda. Dengan adanya kesedaran, tahap penghargaan terhadap alam sekitar akan meningkat.
Masyarakat juga memainkan peranan dalam mengelakkan berlakunya perubahan iklim. Secara individu, kita boleh mengambil langkah secara bertahap-tahap, bermula dengan langkah yang kecil. Misalnya, kita boleh cuba mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa dengan membuka kipas. Ini dapat mengurangkan kadar klorofluorokarbon(CFC), penyebab penipisan lapisan ozon, di udara. Kita juga boleh mengurangkan penggunaan kereta dengan mengambil pengangkutan awam agar kadar gas rumah hijau tidak dibebaskan secara berlebihan. Justeru, mengelak daripada berlakunya pemanasan global.
Natijahnya, fenomena perubahan iklim semestinya dititikberatkan. Setiap orang harus bekerjasama dalam usaha untuk menghindari pemanasan global yang menyebabkan perubahan iklim. Setiap langkah yang kita ambil, sama ada kecil ataupun besar, mempunyai kesan terhadap alam sekitar. Justeru, jadilah pencinta alam sekitar agar kita sama-sama dapat menikmati udara yang segar.