Sebuah tamadun ditandakan dengan kewujudan budaya yang mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan sebuah masyarakat. Budaya, yang merujuk kepada kemajuan fikiran dan akal budi sebuah masyarakat, dizahirkan dalam bentuk kepercayaan, adat, seni dan sastera masyarakat tersebut. Budaya merupakan ciri penting dalam sebuah masyarakat kerana ia melakarkan panduan hidup bagi setiap individu. Justeru, sebuah masyarakat yang tidak kukuh dan telah runtuh kebudayaannya boleh disamakan dengan sebuah kapal tanpa kompas: hendak belayar, namun tiada hala tuju.
Abad ke-21 telah menyaksikan bagaimana fenomena globalisasi telah melahirkan sebuah dunia tanpa sempadan. Perkembangan teknologi yang telah mencipta wadah Internet membenarkan idea-idea baru dan budaya-budaya asing untuk menyisip masuk ke dalam masyarakat. Akibatnya, akulturasi mula bertapak dalam masyarakat dan tercetuslah pencampuran budaya asing dengan budaya tempatan asli.
Di Singapura, kita berlatarbelakangkan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan aman sentosa. Bukan itu sahaja, zaman telah mengalami evolusi masa yang membawa bersamanya anjakan dalam persepsi terhadap kepentingan budaya dalam masyarakat. Di tengah-tengah landskap dunia yang berubah, persoalannya adalah: Apakah peranan budaya dalam pembangunan masyarakat? Sesungguhnya, hal ini akan dikupas daripada pelbagai aspek untuk mengukuhkan duduk budaya dalam masyarakat.
Peranan Sosio Budaya
Budaya membentuk identiti seseorang individu menerusi pembangunan kesedarannya sebagai manusia yang wujud bukan secara sendirian, tetapi sebagai sebuah anggota masyarakat. Maka itu, seorang individu itu dibesarkan dengan nila-nilai, tatasusila dan kepercayaan yang dipegang oleh masyarakatnya. Objektif mendidik generasi pelapis dengan identiti Melayu dicapai menerusi penggunaan bahasa dan penglibatan dalam seni, antara lainnya.
Bahasa menunjukkan bangsa. Pepatah ini sudah lama membasahi lidah orang tua yang berniat murni untuk menasihati anak-anak muda agar menjaga tatatertib sewaktu bertutur. Bahasa sesebuah bangsa mencerminkan nilai-nilai yang dipegang oleh bangsa tersebut. Menerusi penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu, terdapat beberapa kesan positif yang diraih. Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan bulatan sosial masyarakat Melayu mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli masyarakat serta mengukuhkan lagi rasa kekitaan seseorang individu terhadap bangsanya. Ahli psikologi kognitif telah mendapati dan mengesahkan bahawa sebuah bahasa itu mencorak pemikiran penggunanya. Kesan ini berlaku kerana penggunaan bahasa natif dalam kehidupan harian menyebabkan minda untuk mengenali perbezaan dalam konteks interaksi. Justeru itu, ini mencetuskan minda untuk menyesuaikan pemikirannya dengan peralihan bahasa dan membangkitkan naluri kebudayaannya. Dalam konteks masyarakat majmuk Singapura, sebuah masyarakat Melayu yang kukuh silaturrahimnya bukan saja memanfaatkan bangsa Melayu saja, malah ia menyumbang kepada keharmonian negara. Ini kerana hubungan yang baik antara ahli sesebuah kaum menguatkan lagi identiti nasional individu disebabkan adanya jaring keselamatan dan sistem sokongan yang stabil dalam negara.
Di peringkat individu pula, bahasa menyumbang kepada pembinaan sahsiah. Bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang menekankan nilai-nilai kehormatan, kesantunan dalam peradaban dan ungkapan, kemurnian dalam tingkah laku dan niat hati, antara lainnya. Nilai hormat-menghormati terhadap golongan yang lebih berusia dan berpengalaman diserlahkan dalam cara pertuturan kita bersama golongan ini. Sebagai contoh, seorang wanita atau lelaki yang tua akan secara automatik digelar dengan pangkat kekeluargaan “nenek” atau “atuk” tidak kira sama ada mereka dikenali oleh yang menegur atau tidak. Tambahan lagi, mereka yang muda telah dididik untuk bertutur dengan nada yang lembut ketika berbicara dengan golongan warga tua. Secara tidak langsung, terbentuklah peribadi yang berlandaskan sifat hormat-menghormati dan sikap kekeluargaan dalam masyarakat. Selain itu, sastera Melayu seperti pantun mencerminkan sikap berhemah bangsa Melayu dalam ungkapan melalui penggunaan kiasan, struktur pembayang dan maksud dan susun kata yang indah. Ini melatih anak bangsa untuk berfikir sebelum berbicara dan menggalakkan kesantunan bahasa.
Peranan Politik dan Ekonomi Budaya
Daya tarikan seni dan sejarah masyarakat berupaya menjadi sumber keuntungan bagi ekonomi negara. Karya-karya seni yang dihasilkan, antaranya filem-filem tempatan, pementasan teater, konsert dan pelbagai lagi bentuk seni di bawah payungan seni persembahan dan seni visual, menjana sumbangan kewangan menerusi penjualan tiket, karya yang konkrit di samping menarik pelaburan. Kemanfaatan budaya dalam menggiatkan lagi aliran kewangan ke dalam ekonomi tidak berhenti di situ saja. Muzium-muzium yang merupakan institusi yang merakam sejarah dan cara hidup masyarakat sesebuah kaum mampu menjana sumbangan aset kewangan dengan menyediakan saluran bagi individu dan korporasi untuk mendermakan artifak-artifak bersejarah mahupun wang.
Pada tahun 2014, pemerintah mengeluarkan sebanyak $489.3 juta bagi pembiayaan seni dan budaya dengan tujuan menggalakkan pelestarian dan penghargaan warisan budaya Singapura. Menurut Cik Grace Fu, Menteri bagi Budaya, Masyarakat dan Belia, seni dan budaya membantu kita untuk mengejar aspirasi, mencari inspirasi dan meningkatkan mutu kehidupan masyarakat. Dalam jangka masa yang panjang, segala penglibatan dalam seni dan budaya akan menyumbang kepada pembinaan identiti nasional menerusi usaha kita untuk melakarkan naratif Singapura kita sendiri.
Perihal Melestarikan Budaya
Tanggungjawab mengekalkan budaya terletak di atas bahu anak bangsa. Sama ada budaya Melayu akan kekal relevan bergantung kepada tanggapan golongan pelapis, iaitu para pemuda-pemudi, terhadap kepentingan budaya Melayu dalam kehidupan mereka. Jika anak-anak muda, yang merupakan generasi pewaris budaya, melihat cara kehidupan Melayu sebagai paksi utama identiti mereka, maka tidak akan lenyaplah api semangat perjuangan budaya Melayu dek dilanda arus globalisasi. Namun begitu, adalah tidak cukup bagi kita untuk hanya sekadar menghargai budaya tanpa bersikap proaktif dalam memperjuangkan pelestarian budaya.
Satu langkah yang boleh diambil oleh golongan remaja yang ingin menyumbang kepada usaha pelestarian budaya ialah penglibatan dalam acara-acara kesenian Melayu seperti pementasan muzikal dalam bahasa Melayu atau bertemakan sastera Melayu dan lain-lain lagi. Sering didapati bahawa kebanyakan acara-acara yang berkenaan dengan budaya atau sastera Melayu tidak meraih sambutan yang menggalakkan. Lantaran itu, dengan usaha guru-guru dan golongan remaja dalam meningkatkan kadar kehadiran peserta dalam acara-acara tersebut, sudah tentu para penggiat sastera dan seni lebih terdorong untuk menganjurkan lebih banyak acara yang bermutu. Dalam jangka masa yang panjang, dapatlah pelestarian budaya Melayu membuahkan hasil. Selain itu, golongan remaja sendiri hendaklah mengorak langkah dengan membaca teks Melayu, mendengar muzik Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu sesama keluarga dan rakan-rakan Melayu, antara lainnya.
Dunia kini menyaksikan pencampuran pelbagai budaya yang kemudiannya mempengaruhi pemikiran masyarakat. Namun begitu, hal ini tidak boleh dijadikan alasan bagi kita untuk membelakangkan kemurnian budaya kita kerana jika itu berlaku, kita berisiko mengkompromikan identiti kita. Akhir kata, budaya masih memainkan peranan yang penting dalam masyarakat. Sama ada budaya kita dibiarkan untuk luput dek arus modenisasi bergantung kepada diri kita sendiri sebagai satu masyarakat.