Bicara Budaya

Batik

olehNurul Haziqah
July 2016

Secebis sejarah

Para sejarawan mempercayai bahawa asal-usul batik bermula sejak abad ke-17 masihi. Pada waktu itu, corak batik dilukiskan pada daun lotar dan papan rumah adat Jawa. Pada mulanya, pola atau motif batik didominasi dan diilhamkan oleh flora dan fauna. Corak batik telah mengalami sedikit perubahan mengikut peredaran zaman dan penukaran fesyen. Namun, cara pembuatannya masih kekal secara amnya.

Cara pembuatan batik

Terdapat dua jenis batik, iaitu batik cap dan batik tulis. Walaupun berlainan jenis, cara pembuatannya hampir sama.

1. Penyediaan Kain

Pertama sekali, kain putih yang akan digunakan perlu dicuci bagi menghilangkan kanji. Selepas itu ia akan diirendam ke dalam minyak kacang yang dibancuh dengan abu merang. Tujuan rendaman ini adalah supaya kain putih itu dapat menyerap pewarna dengan lebih baik. Setelah kain itu dijemur, ia akan menjalani proses penghalusan, di mana kain dipalu untuk menghaluskan lapisan kain supaya mudah dibatik. Kemudian, kedua-dua hujung kain diregang pada susunan paku yang terdapat pada alat pemidang mudah alih atau meja terap.

2. Menyurih

Proses ini ialah proses menjiplak atau membuat corak di atas kain putih dengan cara meniru pola motif yang sedia ada. Corak batik biasanya dibuat di atas kertas roti dahulu sebelum dijiplak ke atas kain putih. Corak boleh ditiru secara langsung ke atas kain putih atau menggunakan pensil atau canting. Untuk mendapatkan hasil pewarnaan yang lebih baik dan sempurna, proses pembatikan harus diulang pada sisi kain di baliknya.

3. Mengecap

Mengecap pula adalah bagi batik cap. Cap dimasukkan ke dalam cairan lilin dengan mencelupkan bahagian bawah cap sedalam lebih kurang 2 sentimeter. Kemudian, cap diletakkan dan ditekankan dengan amat kuat di atas kain putih. Cairan lilin dibiarkan meresap ke dalam pori-pori kain putih hingga tembus ke sisi lain permukaan kain putih. Tidak seperti batik tulis, batik cap tidak memerlukan pola diterapkan pada kedua-dua sisi kain. Setelah proses mengecap selesai, kain putih akan menjalani proses pewarnaan, dengan cara mencelupkan kain putih ke dalam tangki yang berisi warna.

4. Mencanting

Selanjutnya, cairan lilin batik dicantingkan ke kain putih, bermula dengan menyurih garis-garis di luar motif. Kemudian, ia diikuti pula dengan mengisi motif dengan berbagai macam bentuk. Di dalam proses ini juga, cairan lilin dititik-titik ke dalam pola sebagai corak. Di dalam proses ini, pembatik juga akan menutupi bahagian-bahagian yang tidak boleh terkena warna dasar dengan lapisan cairan lilin yang tebal.

5. Mewarna (tahap pertama)

Proses ini memerlukan kain yang sudah dibatik dicelup ke dalam cairan warna secara berulang-ulang sehingga mendapatkan tona warna yang diinginkan.

6. Mengeruk

Dalam proses ini, malam pada kain dikeruk secara secara teliti dengan menggunakan lempengan logam, kemudian kain dibilas dengan air bersih. Selepas itu, kain diangin-anginkan.

7. Mewarna (tahap kedua)

Proses ini adalah di mana kain dicelupkan ke dalam air rebusan kayu soga yang berwarna coklat.

 

 

 

8. Merebus

Merebus merupakan proses terakhir dalam pembuatan kain batik tulis mahupun batik cap. Dalam proses ini, pembatik membersihkan semua cairan lilin yang ada pada kain dengan membenamkan kain yang sudah cukup tua warnanya ke dalam air mendidih. Setelah diangkat, kain dibilas dengan air bersih dan kemudian diangin-anginkan sehingga kering. Oleh demikian, dapat difahami bahawa proses pembuatan batik merupakan proses yang amat rumit dan memerlukan masa yang panjang, kudrat yang banyak serta kepakaran yang tinggi. Justeru itu, tidak hairanlah jika batik dijual pada harga yang mahal. Ayuh kita hargai pembuatan batik dan lestarikan pemakaiannya!

#FaktaMenarik

Selaras dengan peredaran masa, pembaharuan teknologi telah memungkinkan pembatikan secara digital. Namun, pembatikan ini tidak dilakukan di atas kain putih. Ia dicetak pada kertas dan boleh dijadikan perhiasan dinding. Di Sekolah Rendah South View, murid-murid menjalani program pengayaan DigiTik (Digital Batik). Sewaktu program ini, murid-murid diajar bagaimana untuk menghasilkan lukisan batik menggunakan suatu sofwe canggih. Pola, motif dan isen-isen batik juga tidak terhad kepada corak-corak tradisional. Ketebalan “malam” pula mudah diubah dengan hanya beberapa klik tetikus. Bangga rasanya warisan bangsa dapat diperkenalkan kepada generasi muda dengan cara yang amat inovatif.

 

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Songket-Sulaman Bangsa

Seni Persilatan