Bicara Budaya

Seni Persilatan

olehNurul Haziqah Hassan
April 2016

Silat merupakan sejenis seni bela diri yang berasal dari nusantara Melayu. Di Singapura, silat mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat Melayu. Ini dapat dilihat daripada populariti persembahan-persembahan silat yang sering dipentaskan sewaktu majlis-majlis keramaian seperti majlis walimatul urus atau majlis pelancaran Bulan Bahasa. Bagi pesilat-pesilat pula, terdapat wadah-wadah tertentu di mana mereka boleh menonjolkan dan mengasah bakat mereka.

Silat sebagai sejenis seni bela diri (tanding) bermaksud bahawa silat digunakan untuk melindungi dan mempertahankan diri seseorang daripada musuh. Senjata yang digunakan dalam seni ini dipengaruhi oleh senjata-senjata yang digunakan oleh suku-sakan asli Indonesia sewaktu berburu dan berperang. Antara senjata tersebut termasuklah parang dan tombak. Terdapat juga senjata-senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh para pesilat seperti keris, badik, kerambit, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi para pesilat yang tidak menggunakan senjata pula, mereka akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tanpa senjata. Silat dikatakan mula tersebar di kepulauan nusantara Melayu semenjak abad ke-7 masihi. Namun, asal mulanya tidak dapat dipastikan.

Tombak

 

Tumbuk lada

Kerambit

 

Tekpi

Asal-usul Pergerakan-pergerakan dalam Silat
Pergerakan-pergerakan dalam silat pula diilhamkan daripada pergerakan binatang seperti gerakan monyet, harimau, ular dan burung helang. Pergerakan silat terbahagi kepada “bunga” dan “buah”. Bunga ialah pergerakan yang mirip seperti sebuah tarian. Ia juga digelar “seni” atau “tari”. “Buah” pula ialah pukulan.

Jenis-jenis Silat
Terdapat 360 atau lebih jenis silat secara keseluruhannya. Namun, ada beberapa yang sering dipelajari, diajarkan atau masih dipraktikkan di Singapura. Antaranya ialah Seni Gayong dan Pencak Silat. Silat juga terbahagi kepada dua jenis yakni tanding dan seni. Perbezaan antara kedua-duanya ialah kemahiran yang diperlukan. Silat tanding memerlukan pesilat untuk berhadapan dengan pihak lawan manakala seni pula memerlukan seseorang pesilat itu untuk membuat “persembahan” secara bersendirian.

Nilai-nilai dalam Seni Ini
Terdapat juga nilai-nilai yang diperjuangkan dalam seni silat. Antaranya ialah disiplin, hormat-menghormati, semangat kesukanan, keberanian untuk mengatasi ketakutan, menjaga sesama sendiri dan ketabahan. Disiplin dititikberatkan dalam semua ahli sukan kerana ahli-ahli sukan harus pandai mengimbangi masa untuk tanggungjawab seharian sebagai pelajar dan juga ahli sukan. Ahli-ahli sukan yang aktif seperti pesilat-pesilat nasional memerlukan latihan yang kerap dan instensif. Sewaktu musim perlawanan pula, mereka mungkin harus turun gelanggang pada hampir setiap hari! Jika tidak wujud sikap disiplin di dalam diri, pastinya susah bagi mereka untuk menguruskan masa. Semangat kesukanan pula bermaksud seseorang pesilat itu harus bertaruh dengan adil, berbudi bahasa dan pandai menerima kekalahan. Setiap ahli sukan harus fahami bahawa mereka sepatutnya bekerja keras untuk memenangi sebarang perlawanan, bukan dengan mengambil jalan mudah dengan menipu seperti mengambil dadah. Sikap berbudi bahasa pula mencerminkan perwatakan seseorang. Kebolehan untuk menerima kekalahan akan membantu para pesilat untuk belajar daripada kesilapan, dan memperbaiki serta memperhalusi bakat mereka. Selain itu, ia juga boleh mengajar mereka untuk bergembira atas kemenangan orang lain. Sikap kasih-mengasihi dan menjaga sesama ahli dapat memberi para pesilat semangat apabila tibanya musim pertaruhan. Ketabahan pula memastikan para pesilat tidak mudah putus asa apabila kejayaan tidak berpihak kepada mereka. Di dalam apa jua pertaruhan, pasti ada yang menang dan yang kalah. Seorang pesilat contoh tidak akan berputus asa dengan mudah. Malah, dia akan bangkit dan terus berjuang demi mencapai matlamatnya. Rumusannya, nilai-nilai ini penting bagi membentuk pesilat-pesilat yang dapat memperjuangkan seni ini pada masa akan datang.

Silat sebagai Seni Persembahan
Anda juga pasti pernah terlihat silat dipersembahkan sewaktu majlis walimatul urus. Selalunya, silat dipersembahkan di hadapan pasangan mempelai. Silat jenis ini mengikuti aliran bebas. Selain daripada sejenis hiburan buat pasangan mempelai dan para jemputan yang hadir, sudah menjadi adat orang Melayu supaya silat dipersembahkan sebagai simbol penghormatan kepada “raja sehari” iaitu si pasangan mempelai.

Evolusi Silat
Silat telah mengalami evolusi atau perubahan sejak zaman dahulu. Di negara lain, ada yang berpendapat bahawa sekarang, silat semakin tidak mendapat sambutan daripada golongan pemerintah yang sepatutnya memelihara seni ini dengan alasan terdapat unsur-unsur khurafat di dalam silat. Namun, dengan kesedaran pembangkitan Islam pada hari ini, guru-guru aliran telah menentang dan menghapuskan amalan-amalan yang disyaki bertentangan dengan ajaran agama seperti jampi serapah, pemujaan makhluk ghaib tertentu dan sebagainya. Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) sendiri telah banyak membawa usaha pemodenan dalam dunia silat hari ini.

Silat dalam Zaman Moden
Pada zaman kini, silat bukan sahaja dipraktikkan di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei. Malah, ia juga dipraktikkan di negara-negara di mana masyarakat Melayu merupakan kaum minoriti seperti di negara-negara Laos, Filipina, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam. Silat juga merupakan sukan yang dikenali secara antarabangsa. Hal ini terbukti kerana silat merupakan sukan yang dipertandingkan di Sukan Asia Tenggara (SEA Games). Dalam Sukan Asia Tenggara pada tahun 2015, 107 pesilat daripada 9 negara telah bertanding.

Yang pastinya, silat akan terus menjadi warisan dan lambang jati diri Melayu sedunia.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Batik

Kompang