Sains & Teknologi

Ciri-Ciri Adaptasi Dalam Haiwan: Cara-Cara Haiwan Melindungi Diri Daripada Musuh Dan Persekitaran

olehNaqibah Zulkifli
April 2016

Dunia yang kita huni ini bukan sahaja dikongsi milik antara sesama diri kita. Ia juga menjadi tempat menetap berbilion lagi kehidupan yang lain- tidak kira sama ada yang dapat dilihat dengan mata yang kasar seperti haiwan, mahupun makhluk mikroskopik. Lantaran itu, memandangkan sumber kehidupan bagi para penghuni di muka bumi ini amat terhad, setiap makhluk telah dianugerahkan dengan ciri-ciri dan kebolehan yang tersendiri untuk memastikan kelangsungan kehidupan yang sejahtera.

Sebagai contoh, manusia telah dianugerahkan dengan lima deria: deria melihat, mendengar, menghidu dan merasa untuk membantu mereka meneroka kehidupan seharian mereka. Sama seperti manusia, haiwan juga dikhaskan dengan ciri-ciri mereka yang tersendiri untuk membantu mengurangkan risiko mereka menjadi mangsa musuh atau keadaan persekitaran yang mencabar. Ciri-ciri khas yang ada pada haiwan-haiwan tidak terbilang senarainya. Meskipun begitu, ayuh kita meneroka dan mendalami lagi segelintir ciri-ciri yang ada dalam haiwan-haiwan yang sering kami lihat dan ketahui.

Kebolehan Terbang

Haiwan seperti burung dapat bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dengan terbang. Dengan cara ini burung-burung dapat berhijrah ke kawasan yang lain apabila keadaan persekitaran mereka tergugat. Sebagai contoh, apabila musim berubah, burung-burung seperti burung “Eurasian Whimbrel” akan memulakan penghijrahan mereka dari Eropah ke arah Singapura apabila musim sejuk menjelang. Seekor burung boleh terbang setinggi 3000m sehingga 8000m pada kelajuan 30km/jam-80km/jam pada setiap masa! Ini membolehkan burung-burung menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang baru supaya kelangsungan kehidupan mereka tidak terjejas oleh keadaan yang berubah di tempat penginapan asal mereka.

Corak Kulit

Haiwan seperti Kuda Belang mempunyai corak kulit berbelang. Corak kulit seperti ini membantu mengurangkan risiko keselamatan mereka diancam oleh musuh-musuh. Corak kulit kuda belang yang berbelang dapat memberikan ilusi kepada musuh seperti singa. Apabila Kuda Belang bergerak dalam sekelompok yang besar, musuh-musuh seperti Singa hanya akan menganggap mereka sebagai sekelompok bayang-bayang yang bercorak dan bukan santapan mereka!

Saiz Badan

Saiz badan haiwan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan risiko mereka diserang musuh atau risiko mereka dilemahkan keadaan persekitaran yang mencabar dikurangkan. Saiz badan unta yang gergasi sebenarnya mempunyai fungsinya yang tersendiri. Seperti yang diketahui, keadaan persekitaran di mana unta menetap amat mencabar. Suhu persekitaran boleh mencecah 40 darjah selsius apabila musim panas menjelang. Pada musim sejuk pula, suhu persekitaran boleh menjunam ke bawah 0 darjah selsius. Perubahan drastik dalam keadaan persekitaran tidak menjadi masalah bagi spesis unta kerana saiz dan badan mereka memang dikhaskan untuk menempuhi keadaan sebegitu. Bonggol di badan unta penuh dengan lemak. Lemak ini kemudiannya akan ditukar untuk menjadi tenaga dan air bagi Unta jika diperlukan. Tidak sama seperti manusia, unta juga dicipta tanpa perlu berpeluh selagi suhu badan tidak melebihi 35 darjah selsius meskipun sentiasa terdedah kepada matahari.

Bulu Yang Tebal

Bagi kebanyakan haiwan mamalia, bulu badan merupakan anatomi badan yang amat penting yang dapat melindungi mereka daripada ditimpa kematian atau musibah. Sebagai contoh, Musk Ox, haiwan yang menetap di kawasan Alaska- amat bergantung kepada bulu mereka untuk kelangsungan kehidupan mereka. Bulunya yang tebal dan panjang yang mencecah lantai memberi haiwan ini perlindungan yang diperlukan untuk mengharungi hari-hari yang sejuk di mana suhu persekitaran boleh menjunam sehingga -10 darjah selsius! Pada musim panas pula, badan haiwan Musk Ox ini akan menyesuaikan diri semula kepada cuaca yang berbeza dengan menggugurkan bulunya yang tebal supaya suhu badan Musk Ox tidak meningkat dengan melampau sehingga dapat menyebabkan kematian baginya.

Komunikasi

Seperti manusia, haiwan juga saling berbicara antara sesama sendiri. Cara mereka berkomunikasi dipanggil “Komunikasi Akustik”. Seperti manusia, cara-cara haiwan berkomunikasi tidak terhad kepada satu cara sahaja. Ada yang mengaum, ada yang berkicau malahan ada juga yang berkomunikasi dengan menggunakan deria yang unik. Ada kalanya, bunyi-bunyian yang digunakan haiwan-haiwan ini terlalu halus sehingga tidak dapat dikesan oleh telinga manusia. Bayi tikus merupakan contoh bagi adaptasi ini. Bunyi halus yang tidak dapat didengar ataupun dikesan hampir kesemua makhluk yang lain ini melindungi bayi tikus daripada ancaman yang tidak dikehendaki. Pendengaran tajam haiwan seperti kucing juga memainkan peranan yang penting dalam melindungi mereka daripada ancaman yang lain. Frekuensi pendengaran mereka merangkumi 45 herz sehingga 64 herz, jauh lebih memuaskan daripada frekuensi pendengaran manusia! Lantas, pendengaran tajam mereka ini membantu mereka mengesan ancaman ataupun bahaya dengan pantas.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

4 Rekaan Teknologi Bijak Yang Mesra Alam

Pencemaran Alam