Sains & Teknologi

Pencemaran Alam

olehCikgu Nurmaiza
January 2016

Sejak kebelakangan ini, keadaan cuaca dan alam di sekeliling kita sangat membimbangkan. Banyak terdengar berita tentang pencemaran alam yang berlaku dan sekaligus mengakibatkan terjadinya pertukaran cuaca di seluruh alam maya.

Pencemaran alam boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mengotorkan alam sehingga boleh menjejaskan ekosistem di muka bumi ini. Dewasa ini, era pemodenan menderaskan lagi pembangunan sesebuah negara. Pelbagai projek sosio ekonomi dijalankan dengan begitu pesat untuk meningkatkan taraf pembangunan sesebuah negara.

Pada waktu yang sama, kita alpa tentang kesan terhadap alam sekitar yang boleh membahayakan diri manusia sejagat. Pencemaran alam telah menjadi satu kemelut yang tidak dapat dielakkan. Sesebuah negara yang sedang membangun sebenarnya terhimpit antara usaha untuk meningkatkan pembangunan negara, setaraf negara maju dengan kebajikan terhadap alam sekitar yang perlu dipelihara untuk masyarakatnya. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Antara punca-punca yang boleh kita huraikan sebagai penyebab berlakunya pencemaran alam ialah pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi. Pencemaran ini terjadi tanpa diduga oleh masyarakat. Ini kerana pencemaran ini berpunca daripada kejadian seperti gunung berapi, ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya.

Pencemaran ini boleh mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat. Sebagai contoh, apabila berlakunya letusan gunung berapi, secara tidak sengaja cuaca juga akan turut berubah menjadi berjerebu. Seterusnya, ini akan menyebabkan penduduk di sekeliling kawasan itu mudah jatuh sakit atau terkena penyakit seperti penyakit asma, batuk kering, paru-paru dan penglihatan yang tidak jelas. Dalam hal yang sedemikian, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam membantu menangani masalah ini. Mereka tidak seharusnya mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Antara punca utama yang menyebabkan pencemaran alam berada di tahap yang kritikal adalah disebabkan tindakan manusia sendiri. Manusia sering kali melakukan pencemaran alam dalam keadaan sedar atau sebaliknya. Kesan terhadap pencemaran alam sekitar sudahpun tersebar luas melalui media massa. Namun, manusia yang tidak mencintai alam memandang enteng terhadap permasalahan pencemaran alam ini. Sifat materialistik yang ada dalam diri masyarakat dewasa ini juga sukar untuk mengurangkan masalah pencemaran.

Pencemaran Udara

Asap-asap dari kilang dan kenderaan boleh diwartakan sebagai punca-punca pencemaran udara. Asap-asap hitam yang keluar dari kilang dan kenderaan boleh mengakibatkan asap-asap tersebut terperangkap di ruang udara. Selain itu, terdapat juga gas-gas yang beracun seperti gas monoksida yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan tertutup. Sejenis lagi bahan yang boleh dihasilkan oleh kenderaan bermotor ialah plumbum. Ia sejenis bahan kimia yang sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kerosakan otak terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Pencemaran Air

Air merupakan komponen yang utama dalam kehidupan seharian, namun, masih ramai lagi yang buta terhadap kepentingan air tersebut. Antara pencemaran yang dilakukan terhadap air ialah pembuangan sisa toksik, sampah sarap, barangan pepejal dan sebagainya ke dalam sungai-sungai yang berdekatan. Apabila pencemaran ini dilakukan terhadap sungai tersebut, airnya akan bertukar warna menjadi cokelat ataupun kemerah-merahan. Selain itu, pencemaran air laut pula boleh berlaku akibat tumpahan minyak oleh kapal-kapal yang berdagang. Pencemaran air bukan sahaja menjejas sumber air minuman manusia, ia juga turut memusnahkan hidupan flora dan fauna di sungai dan lautan.

Pencemaran Bunyi

Pencemaran bunyi pula dapat diertikan sebagai bunyi bising yang keterlaluan dan boleh memekakkan telinga dan boleh mengganggu ketenteraman awam. Hal ini berlaku apabila pengeluaran bunyi dihasilkan di tempat yang tidak sesuai. Sebagai contoh, industri perkilangan besi mengeluarkan bunyi bising di kawasan penempatan penduduk. Aktiviti seperti di kawasan pembinaan rumah atau bangunan yang baharu, bunyi akan dikeluarkan apabila cerucuk besi ditanam di dalam tanah oleh pembinaan tanah yang tinggi. Pencemaran bunyi ini juga menyebabkan penduduk di sekelilingnya tidak dapat melakukan sesuatu dan berfikir dengan tenang. Ini sudah tentu menjejas produktiviti masyarakat tersebut.

Pihak pemerintah harus memastikan industri perkilangan ditempatkan jauh dari kawasan estet-estet perumahan. Selain itu, hukuman yang lebih berat harus dikuatkuasakan untuk mengelakkan pembuangan sampah-sarap sembarangan dan pembuangan sisa-sisa toksik di sungai-sungai dan lautan tanpa rasa tanggungjawab. Walau bagaimanapun, tugas menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita harus sama-sama memeliharanya. Keprihatinan kita terhadap peri pentingnya penjagaan alam sekitar akan memangkinkan usaha pemerintah demi kesejahteraan bersama.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Ciri-Ciri Adaptasi Dalam Haiwan: Cara-Cara Haiwan Melindungi Diri Daripada Musuh Dan Persekitaran