Rencana Khas

Kegiatan Luar Darjah-Perlukah?

olehCikgu Nur Amalina Binte Shalan
January 2016

Masa itu emas. Oleh itu kita perlu memanfaatkan amanah masa yang diberikan dengan melakukan pelbagai kegiatan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri kita, tetapi kepada masyarakat dan negara juga.

Pencapaian akademik yang cemerlang tidak akan membawa kita ke mana-mana tanpa diseimbangkan dengan nilai-nilai murni serta ciri-ciri insan yang arif dan budiman. Di sekolah, pelbagai program dan aktiviti luar darjah dianjurkan untuk memupuk nilai-nilai penting dan memperkasakan kemahiran-kemahiran tertentu yang relevan untuk pembangunan diri serta mempersiapkan pelajar untuk masa hadapan.

Apakah faedah-faedah menyertai kegiatan luar darjah?

Pertama, kegiatan luar darjah dapat memupuk sifat kepimpinan dan keyakinan diri pelajar. Mereka terpaksa melakukan sesuatu perkara di luar zon selesa agar dapat menyahut cabaran yang baharu. Dengan cara ini, pelajar akan menjadi lebih berkeyakinan dan memperoleh ciri-ciri kepimpinan yang baik seperti bekerjasama, bertanggungjawab, hormat-menghormati dan berwawasan. Sebagai contoh, dengan mewakili sekolah masing-masing di dalam pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan, remaja akan belajar mengatasi rasa gementar mereka berhadapan dengan khalayak ramai dan pada masa yang sama berasa bertanggungjawab untuk melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama sekolah dan ibu bapa. Misalnya, pertandingan bahas piala Berita Harian dan bahas 4PM peringkat sekolah menengah yang mula diadakan pada tahun lalu telah banyak melahirkan barisan remaja yang lebih berkeyakinan. Kemahiran berfikir yang mereka raih sudah pasti dapat diaplikasikan dalam pelajaran mereka juga. Di samping itu, terdapat gaya dan istilah-istilah perbualan yang beradab dan santun yang perlu dijaga sewaktu perbahasan sedang berlangsung. Ini sekaligus akan membiasakan pelajar menjadi lebih peka ketika bertutur dan bertukar-tukar pendapat.

Kedua, dengan menyertai kegiatan luar darjah, para pelajar dapat berinteraksi dan mengenali lebih ramai orang daripada pelbagai latar kehidupan. Dengan menyertai kegiatan luar darjah, biasanya kita akan bertemu dengan teman-teman baharu yang mempunyai latar dan pengalaman hidup yang berbeza daripada kita. Melalui perkenalan itu, banyak perkara yang boleh kita raih dan pelajari seperti adat dan budaya orang lain dan bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu perkara. Ketika berinteraksi bersama mereka juga, kita secara tidak langsung akan belajar bertutur dengan berhemah dan menghormati perbezaan dan persamaan orang lain. Kita akan menjadi insan yang matang dan luas pemikiran kerana sudah didedahkan kepada pelbagai pemikiran dan cara hidup orang lain. Tidaklah kita menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Ketiga, dengan menyertai kegiatan luar darjah, pelajar akan memperoleh kemahiran-kemahiran dan pengalaman baharu yang tidak diajar di dalam kelas. Kini terdapat beberapa badan pemerintah dan juga syarikat-syarikat swasta yang sering menganjurkan beberapa program untuk para pelajar meneroka pelbagai bidang pekerjaan. Misalnya, Singapore Press Holdings (SPH) akan mengadakan beberapa perkhemahan kewartawanan untuk para pelajar mengenali selok-belok proses penghasilan akhbar. Para peserta juga diberi kesempatan untuk menyahut beberapa cabaran untuk merasakan pengalaman sebagai seorang wartawan melalui tugas-tugas kecil yang direka khas sewaktu perkhemahan itu.

Akhir sekali, kegiatan luar darjah yang berbentuk khidmat masyarakat dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dan masyarakat sehingga kedua-duanya saling memberi dan meraih manfaat daripada satu sama lain. Community Involvement Programme (CIP) merupakan satu usaha pihak kementerian pendidikan untuk menggalakkan pelajar melakukan kerja-kerja sukarela. Misalnya, sewaktu cuti sekolah, banyak sekolah yang akan menghantar rombongan pelajar ke negara-negara dunia ketiga untuk membantu membina sekolah atau berkongsi sumber pembelajaran bersama rakan-rakan sebaya mereka dari negara-negara ini. Sekembalinya mereka di Singapura, mereka perlu melakukan beberapa aktiviti susulan sebagai renungan apa yang telah mereka pelajari daripada lawatan mereka itu. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Oleh itu, dengan melakukan kegiatan di luar darjah seperti ini, banyaklah pengalaman yang diraih oleh remaja. Kita juga akan menjadi lebih peka akan kepelbagaian latar dan hidup manusia sebagai rakyat global.

Kesimpulannya, kegiatan luar darjah memberi banyak faedah kepada pelajar dan juga masyarakat awam yang terlibat. Banyak perkara seperti kemahiran-kemahiran yang melibatkan aplikasi kandungan pembelajaran akademik ke dalam konteks hidup nyata dan penerapan nilai-nilai murni melalui pelaksanaan kegiatan-kegiatan sukar didapati di dalam ruang lingkup kertas peperiksaan dan bilik darjah sahaja. Melalui kegiatan luar darjah ini, dapatlah seseorang pelajar itu bersiap sedia untuk menyahut cabaran abad ke-21 yang terbentang luas di hadapan mereka dengan saksama dan berilmu.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Budaya dan Buana: Peranan Budaya Dalam Masyarakat