Bicara Budaya

Kompang

olehCikgu Siti Nurhidayah Binte Abdul Aziz
January 2016

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam alat muzik genderang. Dipercayai bahawa kompang berasal dari negeri Arab dan telah dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-13 ketika zaman Kesultanan Melaka. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab dan menerima sambutan baik di kalangan penduduk Melayu dan Jawa.

Kompang mempunyai dua bahagian iaitu bahagian permukaan yang dipanggil sebagai ‘belulang’ dan bahagian bingkai kayu yang dikenali sebagai ‘baluh’. Kebanyakan permukaan kompang diperbuat daripada kulit kambing. Namun kini, ada juga kompang yang diperbuat daripada kulit lembu, kerbau malah getah sintetik. 

Kompang terdiri daripada pelbagai ukuran dan biasanya ia berukuran enam belas inci. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan tangan yang lain. Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi ‘bung’ dapat didengar dengan tepukan di sisi kompang dan tangan dikuncup manakala bunyi ‘pak’ diperoleh dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Kompang dimainkan secara berkumpulan seramai sepuluh hingga dua puluh orang yang turut diketuai oleh seorang pemimpin bagi memulakan dan menamatkan sesuatu pemainan tersebut. Mereka akan bermain kompang dalam keadaan duduk, berdiri atau berjalan. Jika kompang dimain dalam acara berzanji, pemain akan duduk bersila atau di atas kerusi.  Selain itu, mungkin ramai sudah ketahui, persembahan kompang juga dapat dilihat dalam acara perkhawinan. Sekumpulan pemain kompang akan mengiringi dan mengarak pasangan mempelai sehingga mereka bersanding di atas pelamin. Pukulan kompang bukan sahaja menghiburkan para tetamu yang datang bahkan dapat memeriahkan lagi suasana di majlis perkhawinan tersebut.

Akhir sekali, ada sesetengah masyarakat Melayu percaya bahawa kompang harus dijaga dengan baik. Ia perlu diletakkan di tempat-tempat tertentu, tidak boleh dipijak atau dilangkahi demi mengelakkan sesuatu keburukan yang bakal berlaku. Walaupun kepercayaan ini tidak lagi diamalkan, kompang tetap mempunyai tempat yang istimewa dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Seni Persilatan