Cerpen Pelajar

Misi Tahan

olehNur Khairiah binte Mohd Amin
June 2024

Afnan menghela nafas lega. Letih… haus… keringat. Segalanya lesap setelah kaki bersaiz tujuh itu berjejak di puncak gunung yang berdiri megah setinggi 2,187 meter. Sudah menjadi lumrah setiap pendaki, kenangan bergambar diabadikan di papan tanda sebagai mercu tanda kejayaan sesiapa sahaja yang tiba di sana. Afnan juga tidak terkecuali mengambil swafoto. Sejurus selepas itu, dia beralih ke sudut lain untuk menenangkan fikiran.

Derap-derap kaki di belakangnya kian mendekat. Si pemerhati berhenti melangkah di sebelah Afnan. Si pemerhati yang mencabar Afnan melakukan sukan lasak itu menyengih.

“Hei… termenungkan apa, Afnan? Macam mana? Puas hati atau tidak?” tanya Haider yang berada di puncak gunung itu buat kali yang kedua.

Mereka bertukar renungan. Alis Afnan berkerut. Dia teringat peristiwa gerun digigit beberapa ekor pacat. Semalaman juga menahan kedinginan. Tiada tandas, bilik mandi mahupun katil empuk di sepanjang perjalanan. Tiga hari lamanya dia meredah bermacam-macam onak duri dengan tulang empat kerat biarpun tidak setegap Haider. 

Wujudnya Afnan di situ pun gara-gara kawannya itu. Dia tahu Haider cemburu dengannya. Gerak geri Haider sudah cukup membuktikan demikian. Hanya setelah kalah satu mata dalam pertandingan memanjat tembok kelmarin, Afnan diajak menyertai ekspedisi tersebut. Tentu Haidar ingin menebus kegagalannya. Sebaliknya, Afnan tidak menganggap Haider sebagai pesaingnya malahan penolong yang merealisasikan impiannya.

“Mestilah puas. Aku sudah lama menunggu waktu ini. Lagi-lagi sekarang, aku sedang menyaksikan panorama pada paras yang hampir lapan kali lebih tinggi daripada bangunan tertinggi iaitu UOB Plaza di Raffles Place! Memang hebat ciptaan Tuhan!”

“Baguslah kalau kau berfikiran begitu. Gunung Tahan bukan senang untuk ditawan. Kuat juga stamina kau. Apapun, tahniah kerana berjaya mendaki puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia.”

Everything You Need to Know About Camping | Pegasus Airlines

Perbualan mereka terhenti apabila dipanggil oleh rakan-rakan yang lain untuk meneruskan perjalanan ke puncak yang lebih kecil di sepanjang banjaran gunung. Sembilan remaja berdarah muda bergerak di lorong gunung mengikut rentak kelajuan masing-masing. Antara perkara yang menarik hati Afnan ialah penemuan bangkai kapal terbang pejuang Jepun dari Perang Dunia Kedua. Dia terkesima. Fikirannya melayang jauh membayangkan musibah yang menimpa mangsa. Perjalanan ke tapak perkhemahan juga berjalan lancar. Setibanya di sana, keindahan pemandangan flora dan fauna secara tiba-tiba diiringi oleh irama perut Afnan yang berdendang. Beberapa rakan pendaki sudah mula menghidupkan unggun api. Afnan menuju ke arah Haider sambil mengerling ke arah khemah kubah yang sudah siap dipasangnya.

“Ah, mesti dia sampai lebih awal,” bisik hati Afnan.

“Sudah-sudahlah terpegun. Elok kalau kita mula memasak sekarang. Mana perkakas dapur yang kau bawa?” tegur Haider yang mengeluarkan makanan dari begnya untuk dimasak.

Tidak lama kemudian, Afnan mendongak ke arah langit. Awan hitam sudah bergerak ke arah tapak perkhemahan. Tangannya pantas mematikan api lalu menceduk ikan tuna di dalam periuk kecil. Tidak sempat mengira waktu yang berdetik, air hujan mula turun berdetas-detas. Angin yang sangat kencang mengiringi hujan menyebabkan aktiviti makan malam terhenti.

“Afnan! Cepat! Kita sambung makan di dalam!” laung Haider yang meluru masuk ke dalam khemah. Setelah Afnan dan Haider berlindung di situ, seorang lagi rakan mereka iaitu Sanjay muncul untuk bermalam bersama. Kemudian, aktiviti kunyah-mengunyah disambung

“Wah, angin tadi buat saya macam hendak melayang!” Sanjay yang fasih berbahasa Melayu menghulurkan snek bar tenaga kepada Afnan dan Haider.

“Eh, mestilah,” balas Haider, “hujan di puncak gunung tidak sama seperti di aras bumi kerana tiada halangan. Nasib baik awak dapat menikmati pemandangan terbaik di gunung ini sebelum lencun satu badan.”

“Apa kau kata? Lecur?” Sanjay menggaru dagunya yang tidak gatal.

“Bukan lecurlah! Lecur untuk kulit yang terkopek terkena panas. Lencun bermakna sangat basah,” jelas Haider lagi dengan riak Encik Serba Tahu. Sanjay ketawa berdekah-dekah. Afnan pula hanya mengangguk lesu.

Malam itu, empat khemah diisi dengan pelbagai kisah yang dikenang. Sedikit demi sedikit, titisan hujan di khemah seperti dodoian yang membawa masing-masing ke ambang kantuk.

Page Divider" Images – Browse 799 Stock Photos, Vectors, and Video | Adobe  Stock

Boom… BOOM!

Ribut petir tidak dihiraukan oleh Afnan, Sanjay mahupun Haider yang separuh sedar. Namun demikian, sesaat merubah segalanya. Dentuman guruh kedua yang terlalu kuat sekonyong-konyong menulikan telinga Afnan. Tiada lagi bunyi yang kedengaran. Dia merasakan dirinya tidak dapat bergerak. Terasa jasadnya semakin hanyut dalam suasana yang mencengkam. Entah mengapa, wajah orang tuanya menjelma serta-merta.

“Ayah, Ibu… tolong Afnan! Tolong Afnan, Ibu! Tidak… Afnan tidak mahu jatuh!”

Kepalanya berputar hebat. Apa… apakah yang sedang berlaku? Mulut Afnan seberat batu. Jeritan dan permintaannya sekadar di minda dan bukan pada bicara. Afnan bingung!

Page Divider" Images – Browse 799 Stock Photos, Vectors, and Video | Adobe  Stock

Suasana kacau-bilau dengan suara manusia yang bermacam ragam menyedarkan Afnan. Rintik-rintik hujan mash membasahi tempat perlindungannya. Syukurlah pendengaran Afnan sudah kembali walaupun mash terasa lumpuh seluruh tubuh seperti baru jatuh dari bangunan tinggi.

“Bangun, Haider, bangun! Haider, kau okey? Argh, macam mana ini? Dia tidak bernafas!”

Mata Afnan celik semula sebaik sahaja mendengar ayat itu. Kemudian, mulut Afnan berkumat-kamit tetapi perkataannya persis bahasa makhluk asing.

Boom!

Bumi bergegar lagi. Perlahan-lahan badan Afnan dipusingkan ke kanan. Begitu juga kaki dan tangannya. Afnan ternampak Sanjay. Dia yakin kawannya tidak sedar apa yang berlaku kepada dirinya kerana memusatkan seluruh perhatian terhadap Haider yang masih tidak sedarkan diri.

Sekali lagi, Afnan memaksa dirinya bangkit ke posisi duduk dengan baki kudrat yang ada. Derau darahnya apabila terpandang Haider. Bayangkan. Susuk tubuh yang tegap itu kini kaku bagaikan patung. Mata Haider memandang ke atas dan hanya menampakkan bola mata putih. Ya Allah! Saat itu, Afnan yakin bahawa Haider melalui perkara yang sama sepertinya tadi. Sanjay menggoncang-goncang badan Haider sambil memanggil namanya.

“Haider sudah sedar! Dia sudah bangun!”

“Aku….” nafas ditarik dalam, “aku okey.”

Sanjay menarik nafas lega setelah Haider memberi isyarat positif. Kemudian, mata Haider kembali tutup. Setelah keadaan lebih tenang, mereka terhidu bau hangit. Afnan mendapati stoking di kakinya berlubang. Aneh! Stoking itu baru dibeli dan masih dalam keadaan baik. Afnan menyelak pula kemeja-T panjang yang dipakainya. Dia terbeliak menemukan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Ada kesan terbakar dari bahagian tulang selangka di sebelah kiri hingga ke bahagian perut. Bentuknya pula persis tanda di dahi Harry Potter!

Page Divider" Images – Browse 799 Stock Photos, Vectors, and Video | Adobe  Stock

Keesokan paginya, semua pendaki dan malim gunung ekspedisi iaitu Husin memeriksa akibat dari insiden semalam. Afnan dan Haider menunjukkan kesan terbakar di tubuh-tubuh mereka.

“Ish, seram betul bila Haider pengsan. Aku yang buat CPR. Nasib baik kau selamat!” Sanjay menambah perisa insiden. Mujurlah dia ada malam itu. Hanya terkena renjatan elektrik yang minima.

“Besar kemungkinan, kesan terbakar itu melalui tubuh Afnan dan Haider sewaktu kilat memanah bumi,” tambah Husin. Dia menyatakan bahawa mereka tidak sepatutnya mendirikan khemah di puncak itu kerana kawasan itu paling sesuai disambar kilat.

Tanpa berlengah, mereka berkemas dengan penuh fokus. Hujan yang sudah reda bermula lagi. Afnan menghayunkan kakinya meninggalkan tapak perkhemahan itu dengan segera. Perjalanannya belum berakhir. Ada berbaki tiga hari sebelum menemui dunia tamadun. Nasib esok belum pasti. Apa yang nyata, Afnan telah menunaikan impian arwah ayahnya-seorang pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak yang tidak sempat menawan Gunung Tahan. Memang sudah lama Afnan menanam tekad untuk sampai di situ semenjak di bangku sekolah rendah lagi.

Peluh diseka. “Terima kasih, Haider. Ayah, Misi Tahan anakmu kini menjadi kenyataan.”

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Nasi Sudah Menjadi Bubur