Cerpen Pelajar

Nasi Sudah Menjadi Bubur

olehFarah Ashikin
March 2024

“Malik Bin Bakar, masanya sudah tiba.

Pengawal berbadan tegap lagi sasa itu datang menjemputku. Aku bingkas. Tanganku digari agar aku tidak dapat melarikan diri. Kami berjalan ke arah sebuah tempat yang amat menggerunkan bagiku. Aku melangkah dengan perlahan mungkin kerana ingin melambatkan perjalanan ke tempat itu. Tempat pembicaraan. Tempat pengadilan. Tempat yang akan menentukan nasibku – mahkamah

Merah. Ungu. Biru. Jingga. Kelab malam itu diterangi cahaya pelbagai warna. Lagu disko yang dimainkan merancakkan lagi suasana. Aku menoleh ke arah Nahar. Gayanya sangat aku kagumi. Jejaka bertatu yang aku panggil Abang Nahar, merupakan rakan yang aku sanjungi sejak menengah tiga lagi. Dia senyum padaku, menarik lenganku dan membawaku menari. Aku menurut sahaja bagai lembu dicucuk hidung.

Sejujurnya, aku bukanlah seorang lelaki yang liar dan kaki perempuan seperti Abang Nahar. Aku seorang anak yang baik. Kata-kata ibu bapaku semua aku turuti. Setiap tugasan sekolah akan aku selesaikan sebelum ke sekolah. Namun, sikapku berubah sebaik sahaja aku berkawan dengan Abang Nahar, lelaki idaman semua pelajar wanita di sekolahku dulu.

Abang Nahar tinggi lampai orangnya. Tubuhnya pula tegap lagi sasa. Kata-kata manisnya mampu membuat sesiapa sahaja jatuh hati padanya.

Lelaki sesempurna itu, siapa yang tidak mahu berkawan dengannya? Memang aku akui bahawa aku ingin menjadi sahabatnya. Ketika aku bersama Abang Nahar dan kawan-kawannya, aku berasa hebat. Dengan serta-merta aku mendapat perhatian ramai pelajar, terutama sekali pelajar wanita. Mereka tergila-gilakanku. Pelajar lelaki pula teringin sangat berada di tempatku. Yang penting, tiada sesiapa yang berani mempermain-mainkan aku. Ke mana sahaja Abang Nahar pergi, akan aku ikut. Malangnya, tidak kusedar bahawa jalan yang aku ambil ini bakal menghancurkan kehidupanku.

 

30 Kata-Kata Mutiara tentang Masa Lalu, Menjadikanmu Lebih Bijak - Ragam  Bola.com

 

Kami boros menggunakan wang untuk berfoya-foya di luar. Merokok, minum arak dan berjudi menjadi rutin kami setiap hari. Apabila aku kehabisan wang, aku panjang tangan pula. Abang Naharlah yang menjadi guruku dalam semua ini. Walaupun dia kaya, dia mengajarku mencuri kerana aku tiada wang. Kami pernah beberapa kali mencuri di kedai-kedai runcit. Oleh kerana tidak tertangkap, kami menjadi lebih berani. Mungkin ketika itu aku masih ingin diberi peluang untuk berubah dan kembali ke jalan benar. Namun, semua petanda ini tidak kuhiraukan. 

Hari demi hari aku menjadi semakin buas. Aku akan pulang lewat malam kerana melepak di tempat-tempat haram bersama Abang Nahar dan kawan-kawannya. Pada suatu malam, sebelum aku keluar rumah, Ibuku bersuara dengan wajah yang sayu.

“Malik, jangan pergi ya nak. Hari ini kita solat Isyak bersama ya?” pinta Ibuku dengan penuh kasih sayang.

Langkahku terhenti lalu menoleh untuk melihat wajah ibuku. Aku teringat akan semua perbuatanku selama ini. Sanggupkah aku menghampakan ibuku yang telah membesarkanku seperti menatang minyak yang penuh? Tiba-tiba, bayangan Abang Nahar yang ingin melucutkan aku dari kumpulannya menerpa dalam fikiranku.

“Ah! Balik nanti kan boleh solat? Malik sudah berjanji untuk jumpa kawan,” jawabku dengan nada yang marah.

Di kelab malam, Abang Nahar menghulurkan beberapa biji pil kepadaku. Katanya, pil-pil itu akan menenangkanku. Aku mengambilnya tanpa soal lalu menelannya. Tidak lama kemudian, aku terasa seperti berada di atas kayangan lalu aku menghayun badanku mengikut rentak muzik. Aku tenggelam dibawa nafsuku. Tiba-tiba sahaja suasana yang gelap menjadi terang semula.

Penyesalan Orang yang Enggan Bersedekah - Pondok Pesantren Daarut Tauhiid

“Tangkap dia!”

Tiba-tiba aku terasa tanganku digari. Aku melihat di sekeliling. Abang Nahar sudah tiada. Aku dibawa ke balai polis. Semua itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Aku bakal dihukum kerana ujian air kencingku didapati positif. Aku dituduh bahawa dadah yang aku ambil adalah milikku. Aku telah menyangkal tuduhan tersebut namun, tiada sesiapa yang ingin mempercayai aku kerana tidak ada bukti.

Abang Nahar pula telah hilang begitu sahaja. Sampai hatinya. Aku marah dengan diriku sendiri kerana tidak bijak membuat pilihan. Mataku telah dikelabui oleh kebaikan dan perhatian yang diberi oleh Abang Nahar. Seperti orang bodoh, aku turuti sahaja apa yang dilakukannya. Sekarang, aku yang kena padahnya. 

Aku mengesat titisan air mataku yang tidak putus mencurah-curah. Perasaan menyesal menyelubungi setiap rongga kalbuku. Aku sudah tiba ke destinasiku, tempat aku diadili. Aku menoleh dan melihat Ibu menangis teresak-esak di sudut bilik itu. Aku pasrah. Tiada apa yang dapat kulakukan sekarang. Nasi sudah menjadi bubur.

 

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Perangkap