Panduan Pelajar

Panduan Pos-Peperiksaan: Strategi Pembelajaran

olehNur Amirah Salimin
July 2016

Peperiksaan pertengahan tahun sudah pun tamat. Setelah bercuti sekolah selama sekitar sebulan, tidak lama lagi akan tiba waktu yang genting bagi ramai pelajar: penerimaan keputusan peperiksaan. Tatkala menatap muka kertas keputusan, ada yang akan tersenyum lebar kerana berasa puas telah mencapai markah atau gred sasaran. Buat anda yang berasa begini, syabas dan teruskan usaha anda! Namun, ada juga yang akan berasa patah hati kerana tidak dapat memperolehi markah atau gred yang diharapkan. Adalah biasa untuk berasa kecewa, namun usah terus bersedih. Kali ini, akan kami utarakan beberapa cara untuk menganalisis persembahan dalam peperiksaan. Seterusnya, dapatlah kami lakarkan strategi pembelajaran untuk meningkatkan prestasi anda dalam peperiksaan yang akan datang. Mari mulakan!

Langkah Pertama: Analisis

Semak kertas peperiksaan anda sekali lagi setelah guru memulangkan kertas yang disemak dan mengajarkan pembetulan. Tujuannya bukan untuk melihat sama ada guru telah silap memotong markah. Malah, kali ini objektif anda adalah untuk menganalisis kelemahan dan kekuatan anda.

Setiap pelajar mempunyai bahagian yang dianggap agak sukar atau mengelirukan dibandingkan dengan bahagian-bahagian lain yang diuji. Kenal pasti bahagian-bahagian tersebut dan tandakannya dengan sebuah simbol (bintang, tanda tanya dan lain-lain lagi) menggunakan warna yang terang seperti merah jambu, ungu atau oren. Ini akan mengingatkan anda untuk menumpukan lebih perhatian kepada bahagian tersebut setiap kali anda menelaah pelajaran. Bagi bahagian di mana markah yang baik diperolehi, tandakannya dengan simbol yang lain agar anda maklum bahawa teknik yang anda gunakan telah membuahkan hasil. Meskipun begitu, ini tidak bermakna bahawa anda terus mengabaikan latihan bagi bahagian tersebut. Dalam jurnal atau diari anda, pastikan bahawa kelemahan dan kekuatan anda dicatatkan dengan jelas agar anda dapat menetapkan matlamat seterusnya.

Langkah kedua: Strategi Kini

masa untuk melakar strategi agar anda dapat memperbaiki kemahiran anda dalam memahami kandungan subjek atau menjawab soalan. Dalam melakar strategi, anda harus faham bahawa tidak semua subjek boleh dilatih dengan cara yang sama. Harus difahami bahawa tiada satu strategi yang mampu menghuraikan segala masalah anda, maka itu bagi setiap subjek strategi pembelajaran harus dikhususkan. Bagi subjek dalam cabang bahasa atau kemanusiaan, tumpuan diberikan kepada pemahaman topik perbicaraan dan cara mengekspresikan pemikiran dan perasaan melalui kata-kata, antara lainnya. Kemahiran bersifat begini tidak dapat diasah dalam sehari saja, malah ia memerlukan usaha yang berterusan agar anda dapat membangunkan kebolehan anda. Tiada gunanya menghafal esei contoh atau idea-idea jika tidak melatih kemahiran sendiri.

Bagi subjek dalam rangkuman Sains dan Matematik pula, anda dikehendaki untuk menguasai konsep-konsep asas dan seterusnya mengaplikasikan pemahaman tersebut kepada senario yang berbeza melalui latihan. Dalam melatih diri untuk subjek-subjek ini, kunci meraih markah yang baik terletak kepada pemahaman utuh konsep-konsep asas.

Langkah Ketiga: Konsisten

Kecekalan dalam memastikan usaha yang konsisten dalam pelajaran juga merupakan satu kemahiran yang wajar anda asah kerana ia perkara yang amat diperlukan dalam kehidupan seharian. Pengurusan masa yang baik merupakan langkah yang penting dalam memastikan bahawa ada masa diketepikan untuk pengulangkajian pelajaran. Setiap orang mempunyai jumlah masa yang sama setiap hari: 24 jam. Sama ada anda berjaya memanfaatkan masa itu dengan sepenuhnya bergantung kepada sifat disiplin dan kemahiran mengurus masa. Dalam edisi yang lalu, kami telah menyingkap cara-cara untuk melakar jadual masa. Penjadualan masa merupakan sesuatu praktis yang baik bagi mengurus masa. Jika anda mendapati bahawa agak sukar untuk menuruti jadual masa yang begitu tuntas, tidak salah untuk melonggarkan dan mengubah jadual sekali-sekala. Yang penting, semua tugasan dapat diselesaikan

TIPS BAGI MENELAAH PELAJARAN

  • Ajar sesama sendiri
    Terdapat beberapa kajian yang telah membuktikan bahawa pelajar yang mengajar rakan-rakan yang lain dapat mengaplikasikan pembelajaran mereka dengan lebih berkesan. Hal ini berlaku kerana secara tidak langsung, mereka akan giat berusaha untuk memastikan kandungan pembelajaran dapat difahami sebelum diajarkan kepada rakan-rakan lain. Oleh itu, adalah baik jika anda tubuhkan sebuah kumpulan belajar agar dapat memanfaatkan kekuatan satu sama lain!
  • Catat nota secara berkesan
    Pencatatan nota tidak akan membantu dalam pembelajaran jika ia tidak dicatat dengan cara yang berkesan. Cuba elakkan menyalin maklumat perenggan demi perenggan. Sebaliknya, cuba untuk memahami kandungan sebelum menuliskannya semula dalam bentuk yang lebih berkesan bagi anda seperti peta minda, illustrasi dan sebagainya. Selain itu, anda juga boleh mencatat maklumat penting menggunakan dakwat pena yang berwarna agar lebih mudah diingati.
  • Tidur sementara jika perlu
    Tahukah anda? Jika anda tidur selama 10 hingga 20 minit tatkala penat mengulangkaji pelajaran, ini akan memberi peluang bagi minda anda untuk membuang takungan sambungan neural yang tidak diperlukan. Hasilnya, minda akan menjadi lebih berkemampuan untuk menyimpan maklumat baru di samping membantu anda mencerna maklumat dengan lebih pantas.
Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Kesedaran dan Keyakinan Diri

Keutamaan dan Disiplin Diri