Panduan Pelajar

Kesedaran dan Keyakinan Diri

olehSiti Syazana Binte Abdul Halim
September 2016

Tanpa kita sedari, kita sudah menghampiri penghujung tahun. Waktu sebegini sering dijemput dengan keresahan oleh sesetengah pelajar. Sebabnya, para pelajar harus menduduki peperiksaan akhir tahun tidak lama lagi. Keringat mengalir, tangan menggeletar dan diri pula menjadi tidak keruan.

Mungkin ada dalam kalangan pelajar yang gementar kerana mendapat markah yang kurang baik semasa peperiksaan pertengahan tahun. Ada pula yang mungkin berasa tertekan kerana mempunyai jangkaan yang terlampau tinggi. Para pelajar pasti tidak mahu mengecewakan ibu bapa, guru dan juga diri sendiri. Perkara ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun, stres tidak patut dibiarkan begitu sahaja kerana boleh menjejas kesihatan pelajar. Sebaliknya, stres yang dialami seharusnya bertukar menjadi suatu dorongan kepada pelajar untuk mempertingkatkan diri sendiri. Terdapat beberapa langkah yang para pelajar boleh ambil buat persiapan diri.

Pertama, pelajar harus sedar kemampuan diri. Setiap pelajar mempunyai tahap kemampuan yang berbeza. Justeru, perbandingan antara pelajar tidak harus menjadi tumpuan. Sewajarnya, setiap pelajar membuat renungan atas prestasi yang lalu dan memikirkan cara untuk memperbaiki diri sendiri. Kemudian, pelajar boleh menetapkan matlamat yang ingin dicapai. Matlamat yang ditetapkan haruslah realistik mengikut kemampuan masing-masing. Tujuannya adalah untuk meletakkan sebuah visi yang jelas. Dengan adanya matlamat dan visi yang jelas, pelajar boleh bekerja keras untuk mencapai apa yang dikehendaki.

Setelah menetapkan matlamat, pelajar patut menyemak kertas ujian yang lalu buat setiap pelajaran agar dapat mengenal pasti kesilapan yang telah dilakukan. Berikutan itu, pelajar boleh bertanya kepada guru atau merujuk kepada nota untuk memahami jawapan yang tepat. Pelajar haruslah berusaha untuk mendapat pemahaman agar kesilapan yang lalu tidak akan berulang, terutamanya dalam pelajaran yang paling lemah. Selain itu, pelajar patut mengambil inisiatif untuk membuat latihan pada masa lapang. Dengan membuat latihan, pelajar menggerakkan minda sekaligus menguji ingatan. Latihan di bawah tekanan masa juga berkesan dalam melatih pelajar untuk berfikir secara pantas dan bernas. Lantaran itu, pelajar dapat membiasakan diri dengan keadaan atau suasana semasa peperiksaan.

Pembahagian masa amatlah penting dalam membuat persiapan. Seseorang yang bijak membahagikan masa sering mendapat keuntungan dan kebahagiaan. Lantas, para pelajar seharusnya mencari keseimbangan itu. Disebabkan peperiksaan semakin hampir, pelajar patut menumpukan lebih perhatian kepada pelajaran. Dalam apa jua keadaan, pelajaran tidak harus diabaikan. Sewajarnya, pelajar harus mendedikasikan masa untuk mengulang kaji setiap hari. Ini adalah untuk memastikan bahawa pelajar tidak terkebelakang atau ketinggalan dalam pelajaran. Pada masa yang sama, pelajar harus ingat untuk berehat seketika walaupun sedang sibuk belajar. Ia sangat penting untuk merehatkan minda agar tubuh badan tidak menjadi lesu dan minda tidak bercelaru.

Seterusnya, pemakanan yang baik harus dititikberatkan untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal. Antara makanan yang bagus untuk minda dan tubuh badan ialah gandum. Makanlah gandum untuk mendapat bekalan tenaga. Sememangnya, tenaga diperlukan untuk konsentrasi. Khasiat ini terkandung dalam makanan seperti roti dan bijirin. Badam juga dikenali sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi protein. Menurut kajian, badam dapat memberikan tenaga untuk kesihatan tubuh badan serta meningkatkan ingatan, sekaligus menguatkan kuasa minda.

Akhir sekali, para pelajar mestilah mempunyai keyakinan diri. Keyakinan ini datang dengan fikiran yang positif. Pelajar harus yakin bahawa kejayaan boleh diraih. Kekhuatiran mendapat kegagalan tidak harus menguasai minda. Para pelajar tidak harus mudah putus asa dan sepatutnya berusaha dengan bertungkus-lumus. Keperitan yang dialami dalam proses pembelajaran pasti akan dibalas dengan kemanisan kejayaan apabila lulus dalam peperiksaan nanti. Bak kata pepatah, genggam bara api, biar sampai jadi arang. Moga maju jaya! 🙂

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Mengatasi Gangguan dalam Pelajaran

Panduan Pos-Peperiksaan: Strategi Pembelajaran