Kurik Kundi

Pantun Jenaka

olehFarah Nur Zakiah Roslee
July 2016

Berbalik kepada fungsi pantun, pantun jenaka juga ada pelbagai kegunaannya. Selain daripada menghiburkan hati dan memeriahkan suasana, pantun jenaka mempunyai fungsi yang berbeza-beza bergantung kepada tempat, masa dan golongan yang mendengarkan pantun tersebut.

Pantun jenaka untuk kanak-kanak diciptakan untuk menghiburkan anak-anak kecil. Seringkali pantun jenaka kanak-kanak dilagukan dan dinyanyikan oleh seorang ibu kepada anaknya. Seni katanya mudah difaham dan lagunya seronok dinyanyikan oleh kanak-kanak. Pantun jenaka kanak-kanak juga sering menerapkan nilai-nilai murni yang mudah difaham.

Sebagai contoh:

Makan kuih tanam keladi,
Minum air airnya tebu;
Siapa yang belumnya mandi,
Badan bau macam sang lembu.

Pantun ini amat terkenal kerana telah diterapkan dalam sebuah lagu yang sering dinyanyikan kepada kanak-kanak. Pantun tersebut bukan saja lucu malah mempunyai pengajarannya sendiri. Maksud yang disampaikan mengajar kanak-kanak untuk menjaga kebersihan agar tubuh mereka tidak “bau macam sang lembu”.

Pantun jenaka untuk anak muda pula seringkali menyentuh tentang perhubungan sesama manusia seperti persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang. Maksud yang disampaikan juga selalunya lebih mendalam kerana mereka lebih berfikiran matang. Cara berpantun juga lebih bersifat dua hala seperti perbualan biasa, yakni seperti pantun jual beli.

Sebagai contoh:

JUAL
Ketam bunga banyak tajamnya,
Ketam batu warna kelabu;
Mengapa terpinga bila ditanya,
Yang mana satu idaman kalbu?

BELI
Ketam bunga di Tanjung Bidara,
Banyak kerang di Pulau Sibu;
Bukan terpinga sekadar mengira,
Nak edarkan borang berapa ribu.

Walaupun jenaka antara kedua-dua pihak agak bersahaja, namun ia menyentuh tentang isu percintaan dan perkahwinan. Isu-isu sebegini sering menjadi buah fikiran anak muda oleh kerana sikap masyarakat kita yang begitu menitik beratkan hubungan manusia. Mereka juga cukup matang untuk memikirkan tentang hal masa depan seperti perkahwinan.

Sebuah majlis itu tidak lengkap jikalau tidak diserikan dengan pantun-pantun jenaka. Acara-acara seperti majlis perkahwinan, acara penyampaian hadiah dan juga acara berpantun sering menggunakan pantun jenaka untuk memeriahkan majlis tersebut. Pantun jenaka dapat menarik perhatian para hadirin dan membuat mereka ketawa serta berasa senang. Dengan itu, para hadirin tidak akan berasa resah atau bosan. Tambahan pula, sifat usik-mengusik ini memang agak ketara di kalangan masyarakat Melayu.

Sebagai contoh:

Masakan enak dibawa nyonya,
Untuk diberi baba tersayang;
Diharap bunga tidak berpunya,
Khuatir nanti menangis kumbang.

Pantun ini digunakan oleh pengacara majlis sewaktu majlis merisik. Melalui pantun tersebut, pengacara majlis dapat membina suasana yang lebih selesa lalu menghilangkan segala ketegangan dan keresahan yang mungkin dirasakan oleh kedua-dua pihak lelaki dan wanita. Maksud juga disampaikan dengan cara yang santai walaupun persoalan yang dibangkitkan agak berat. Pengacara majlis dapat menyoal pihak wanita jika dia benar-benar tidak berpunya dengan cara yang tidak memalukan atau menyinggung perasaan pihak tersebut.

Dalam kita bergurau dan bercanda, banyak perkara lain yang dapat diraih melalui pantun. Pantun jenaka bukan sahaja lucu malah mempunyai maksud tersirat yang boleh dijadikan pengajaran. Pantun juga menunjukkan kehebatan orang Melayu dalam mencipta suatu sastera yang ringkas dan padat disulami dengan kata-kata yang indah. Moga adat berpantun ini terus kekal dalam masyarakat Melayu kita, walaupun sekadar untuk hiburan sahaja.

Sudahlah handal lagi bersantun,
Muka selamba tapi berseri;
Habis modal untuk dipantun,
Izinkan hamba berundur diri.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Pantun Adat dan Agama

Menyoal Menerusi Pantun