Kurik Kundi

Menyoal Menerusi Pantun

olehFarah Nur Zakiah Roslee
April 2016

Pantun tidak semestinya digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud sahaja. Pantun juga digunakan untuk bertanyakan soalan kepada pihak yang lain. Oleh kerana pantun merupakan jenis sastera yang sering digunakan secara lisan terutamanya pada zaman dahulu, ia melatih kita untuk berfikir dengan pantas apabila membalas pantun.

Terdapat dua cara untuk masyarakat Melayu berbalas pantun iaitu menerusi pantun teka-teki serta pantun jual beli. Pantun teka-teki lebih berdasarkan pada pertanyaan tertutup, yakni memiliki hanya satu sahaja jawapan yang tepat. Ia juga lebih bertujuan untuk menghibur atau bergurau senda. Pantun jual beli pula lebih bersifat sebagai soalan terbuka. Kadangkala tema atau hal yang disentuh agak serius dan memerlukan kita untuk berfikir dengan lebih mendalam. Ada juga pantun jual beli yang lebih mudah dan ringkas, sekadar dijadikan perbualan santai antara dua orang.

Contoh pantun teka-teki:

Buah budi bidara mengkal,
Masak sebiji di tepi pantai;
Hilang budi bicara akal,
Buah apa tidak bertangkai?

Contoh pantun jual beli:

Nampak bulat terang cahaya,
Sinar suria tidak terbatas;
Banyak jerat di alam maya,
Golongan apa asyik terjejas?

ATAU

Hiasan taman bunga melati,
Bau tak hilang selepas dibaja;
Adat warisan dibiar mati,
Tradisi orang mengapa dipuja?

Jawapan bagi soalan teka-teki cuma ada satu dan ia bertujuan untuk mencuit hati orang. Sebagai contoh, jawapan bagi pantun teka-teki di atas ialah “buah hati” yang bermaksud “kekasih”. Pantun sebegini disukai oleh anak muda yang suka bercanda. Pantun jual beli pula tidak terhad pada satu jawapan, terserah kepada pengetahuan dan pemikiran pembeli untuk memberi jawapan yang terbaik baginya. Kadangkala pantun jual beli tidak perlu dibalas dengan jawapan, malah boleh dibalas dengan soalan atau ditepis oleh pembeli.

Terdapat banyak sebab mengapa orang Melayu gemar memberi soalan menerusi pantun. Salah satu sebabnya ialah sifat kami yang sentiasa berlemah lembut dan bersopan santun. Kadangkala solan yang diajukan boleh menyentuh isu-isu yang agak sensitif. Soalan disampaikan dalam pantun agar ia tidak dilihat sebagai terlalu kasar sehingga orang ramai berasa marah dan tersinggung. Kadangkala soalan bersifat sindiran lebih berkesan dalam menyentuh perasaan orang, lantas mengajak mereka untuk berfikir tentang isu tersebut.

Walaupun pantun teka-teki dan jual beli tidak lagi digunakan dalam kehidupan seharian orang Melayu, pantun-pantun begini masih lagi diamalkan. Contohnya, pantun jual beli masih lagi digunakan bagi memeriahkan suasana dan menghiburkan para tetamu di majlis besar-besaran seperti majlis pernikahan. Waktu merisik, wakil pihak lelaki juga sering mengajukan soalan kepada pihak wanita menerusi pantun agar kelihatan lembut dan sopan apabila bertanya jikalau pihak wanita (“mawar”) sudah berpunya.

Sebagai contoh:

Kembang mekar bunga siantan,
Susun secekak harum baunya;
Mekar mawar mewangi di taman,
Bertuan tidak kami bertanya.

Meskipun pantun tidak lagi menjadi basahan lidah orang Melayu zaman sekarang, masih ada lagi ruang dan peluang untuk kita gunakan pantun. Pantun masih lagi digunakan dalam majlis-majlis Melayu kerana acara yang indah tidak lengkap tanpa penggunaan tutur kata yang indah. Seni berpantun, terutama sekali menyoal menerusi pantun, mengajak kita untuk berfikir dan mengasah minda. Banyak sekali faedah yang dapat diraih menerusi pantun. Semoga seni warisan kami terus dikekalkan sepanjang zaman.

Bagaikan intan nilainya zaitun,
Sudahkah tuan sedia berpantun?

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Pantun Jenaka

Pantun Nasihat