Kurik Kundi

Pantun Nasihat

olehCikgu Faradilah bte Mohd Yaakop
January 2016

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Begitu indah dan cantik kuntuman bahasa serta mesej yang disampaikan menerusi serangkap pantun ini. Sebagai salah satu daripada khazanah puisi tradisional Melayu, pantun masih popular dalam kalangan masyarakat kita sehingga ke hari ini.

Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu sering berpantun bersama ahli keluarga atau sahabat-handai mereka. Pantun dijadikan sebagai satu cara untuk berkomunikasi sesama masyarakat. Semasa berpantun, pelbagai fungsi dan faedah dapat dikesan. Ia sangat berguna untuk mendidik masyarakat sekeliling. Menerusi pantun-pantun nasihat, para pembaca dapat menerima mesej yang ingin disampaikan kepadanya. Selain itu, pantun bertujuan untuk menghibur. Seseorang yang sedang dalam keadaan hiba, pasti akan berasa gembira setelah membaca pantun yang mengandungi kekata lelucon. Tidak lupa juga, pantun berfungsi sebagai alat untuk mengasah minda. Terdapat pantun teka-teki yang mengajak masyarakat untuk berfikir dan meneka jawapan kepada soalan yang ada di dalam setiap teka-teki pantun itu.

Secara amnya, serangkap pantun mengandungi pembayang dan maksud. Di dalam pantun yang mempunyai empat baris ayat, pembayang pantun dapat dilihat pada bahagian awal pantun sebelum diikuti dengan maksud pantun itu sendiri. Pembayang pantun seakan-akan menggambarkan kepada pembaca tentang maksud atau mesej pantun yang terdapat pada baris ketiga dan keempat.

Contohnya,

Berakit-rakit ke hulu,              }pembayang
Berenang-renang ke tepian;

Bersusah-susah dahulu,                 }maksud
Bersenang-senang kemudian.

 

Pembayang pantun ini membayangkan seseorang yang sedang berdayung rakit di sungai. Pekerjaan sebegini bukanlah sesuatu yang mudah pada mulanya tetapi setiap perkara yang dilakukan itu akan bertambah senang setelah mencubanya. Pembayang pantun ini memberikan gambaran kepada maksudnya juga. Pada peringkat awal pekerjaan, ia sesuatu yang susah dan kita perlu berusaha dengan gigih. Namun, kita akan berasa senang kemudiannya kerana usaha yang kita curahkan itu beroleh hasil yang baik.

Mari kita lihat pula kepada sulaman pantun yang berikut ini,

Dalam semak ada duri,                        } pembayang
Anak ayam buat sarang;

Orang tamak selalu rugi,                            } maksud
Seperti anjing dengan bayang-bayang.

Dalam rangkap pantun ini, pembayang pantun mengandungi perkataan ‘duri’ dalam baris pertama. Ia menggambarkan sesuatu yang tajam, berbahaya dan boleh menimbulkan kesusahan. Lantas, pembayang ‘duri’ tersebut seakan-akan memberitahu kita tentang maksud pantun itu. Ia menyampaikan bahawa jika seseorang itu tamak, dia akan berada dalam kerugian. Keadaan rugi itu adalah sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan kesusahan kepada dirinya, serupa kisah seekor anjing yang tamak dan terlepas makanan dari mulutnya dek bayang-bayangnya sendiri.

Keindahan pantun yang disulami pembayang dan maksud turut dilihat di dalam contoh ini,


Baik-baik mengirai padi,          } pembayang
Takut mercik ke muka orang;

Baik-baik menjaga diri,                     } maksud
Takut nanti diejek orang.

Pembayang pantun ini menggunakan perkataan ‘baik-baik’ dan ‘takut’. Perkataan-perkataan ini mempunyai kaitan kepada maksud pantun. ‘Baik-baik’ dan ‘takut’ menasihati kita supaya selalu berwaspada. Jika gagal, dikhuatiri akan menyusahkan diri sendiri. Begitulah juga maksud pantun ini. Ia berpesan supaya kita selalu menjaga diri dan akhlak. Sekiranya kita tidak berbuat demikian, dikhuatiri masyarakat sekeliling akan mengejek dan mengata-ngata tentang diri kita. Nasihat yang dibawa dalam pantun ini sangat berguna kerana boleh dijadikan panduan hidup kita.

Buah cempedak di luar pagar       } pembayang
Ambil galah tolong jolokkan

Saya budak baru belajar                          } maksud
Kalau salah tolong tunjukkan

Dalam pembayang pantun ini pula, kita melihat kepada perkataan ‘jolokkan’. Jolok bermakna mengambil sesuatu dengan cara mencucuk dengan benda yang panjang. Menerusi pembayang ‘jolokkan’, kita boleh memahami maksud pantun yang menggunakan perkataan ‘tunjukkan’. Pantun ini berpesan sekiranya seseorang itu baru sahaja mempelajari sesuatu dan melakukan kesilapan, beliau diminta supaya ditegur dan diperbetulkan kesilapannya itu. ‘Tunjukkan’ di sini bolehlah dikaitkan juga dengan menunjuk atau menegur kesilapan menggunakan peralatan menulis seperti batang lidi ataupun pensel. Cara ini serupa dengan menjolok buah cempedak menggunakan galah, seperti yang terdapat dalam pembayang pantun ini.

Masyarakat Melayu, baik yang tua mahupun muda, wajar melestarikan warisan pantun. Pantun bukan sahaja sebagai suatu wadah untuk menyampaikan sesuatu mesej, ia juga berfungsi untuk mendidik menerusi nasihat-nasihat, menghiburkan menerusi lawak jenaka, menegur melalui pesanan, menyatakan perasaan kasih dan sayang menerusi kata-kata indah dan memudahkan cara berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Jika kita sama-sama giat memelihara warisan kita, pantun tidak akan sesekali hilang di dalam jiwa masyarakat Melayu.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Menyoal Menerusi Pantun