Rencana Khas

Sukan Menggalak Integrasi

olehNur Amirah Salimin
June 2024

Wujud sejak permulaan ketamadunan lagi, adanya sukan dalam masyarakat bagaikan sesuatu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sukan merupakan sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi dan hal ini diiktiraf oleh masyarakat moden yang telah mengembangkan landskap penglibatan dan peraduan sukan. Kini, perkataan sukan bukan hanya memaksudkan sebuah aktiviti rekreasi, namun mengundang kefahaman atau konotasi yang berbeza seperti kerjaya dan profesionalisme.

Walaupun begitu, sukan dalam sifatnya merupakan sesuatu kegiatan yang bersifat kemasyarakatan; Jarang sekali sukan hanya melibatkan usaha satu individu pada bila-bila masa. Dalam zaman yang mendukung fenomena globalisasi, elemen kemasyarakatan dalam sukan mengalami sebuah revolusi yang berbeza, lagi positif. Sukan bukan sekadar berfungsi sebagai medium rekreasi atau persaingan, namun ia telah menjadi alat untuk menggalakkan integrasi dan pembangunan diri.

Sebuah masyarakat dibina oleh pelbagai golongan individu. Pada pandangan pertama mata kasar, masyarakat berfungsi dengan makmur. Tetapi di sebalik apa yang dapat dilihat dengan mata kasar, di manakah golongan individu yang memencilkan diri disebabkan ciri-ciri mereka?

Sukan memainkan peranan penting dalam mengundang golongan-golongan ini untuk kembali di samping masyarakat; seolah-olah memanggilkan mereka untuk sama-sama bergiat aktif tidak kira usia atau latar belakang kerana kesihatan merupakan hak semua individu.

Dalam sesebuah masyarakat, golongan emas serta golongan kurang berupaya seringkali tidak disertakan dalam aktiviti kesukanan arus utama. Usia dan kecacatan fizikal dilihat sebagai antara faktor yang dapat menghindari daripada mencapai kehandalan dalam kegiatan kesukanan. Menurut pemikiran begini, sukan merupakan objektif muktamad. Walaupun hal ini tidak salah, namun arena sukan mampu dikembangkan untuk melibatkan sama golongan-golongan yang sering terpinggir.

Di Singapura, dianggar bahawa sekitar 3 peratus penduduk mempunyai kekurangan dalam keupayaan fizikal. Dalam kalangan 160 000 individu, 63% tidak bergiat dalam aktiviti sukan. Keterlibatan yang kurang dalam aktiviti fizikal meningkatkan risiko dihidapi masalah kesihatan lanjutan seperti kemurungan, kegemukan yang memudaratkan dan sebagainya. Pakar-pakar kesihatan telah mendapati bahawa penglibatan dalam sukan dapat meningkatkan lagi keupayaan individu dalam golongan ini untuk menangani kehidupan harian dan pekerjaan mereka di samping membina keyakinan diri untuk menjalani hidup.

Meskipun terdapat pelbagai acara sukan dikhususkan untuk yang golongan ini, kekurangan pendedahan liputan tentang acara-acara ini mengehadkan kadar penyertaan dalam kalangan individu kurang upaya. Oleh itu, Project This Ability bertujuan untuk menggunakan platform media sosial untuk meluaskan penyebaran maklumat. Usaha ini tidak berakhir di sini. Tidak semua jenis sukan yang sesuai dimainkan oleh mereka yang kurang upaya, dan ini bergantung kepada sifat kekurangan upaya mereka masing-masing. Selain itu, mereka yang kurang upaya juga harus dimaklumkan tentang sokongan kesukanan yang disediakan bagi mereka agar penglibatan dalam sukan menjadi sebuah realiti. Bagi warga emas pula, Persatuan Rakyat (People’s Association) telah mengorak langkah untuk menggalakkan golongan ini untuk kekal menjalani gaya hidup yang aktif dengan menganjurkan peraduan sukan, seperti pertandingan Perlumbaan Sampan Naga anjuran PA. Bagi golongan warga emas yang kurang cenderung untuk keluar bergaul dengan rakan-rakan di kelab masyarakat, dapatkah anda fikir cara-cara untuk menggalakkan mereka untuk bergiat dalam aktiviti fizikal?

Bagi mereka yang ditimpa penyakit fizikal mahupun mental, sukan berupaya menjadi aktiviti terapi yang membantu individu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada timbunan masalah yang mengganggu hidup seharian. Meskipun sukan dianggap sebagai sesuatu kegiatan yang berat bagi golongan ini, hal ini merupakan tanggapan yang agak naif. Sebaliknya, sukan telah menjadi sebuah saluran yang memperkasa individu-individu ini untuk melawan masalah-masalah yang mengehadkan mereka daripada menjalani hidup secara bermakna.

Sebuah acara yang membuktikan sukan sebagai medium memperkasa individu yang telah mengalami kecederaan fizikal dan mental merupakan Invictus Games. Usaha ini dimulakan oleh kerabat diraja Wales, Putera Harry dengan niat mengiktiraf pengorbanan anggota angkatan tentera yang mengalami kecederaan akibat penglibatan mereka dalam pertempuran. Acara ini merupakan satu cara baginya untuk membantu individu-individu ini membuktikan kepada diri mereka sendiri bahawa kekurangan mereka langsung tidak mengurangkan harga diri dan potensi mereka sebagai manusia. Sejak permulaannya pada September 2014, acara ini telah berkembang dan kini bakal melibatkan 18 negara dan 500 pesaing dalam liga seterusnya di Sydney, Australia pada tahun 2018.

Melalui sukan, sebuah kegiatan yang memerlukan mereka untuk menguasai diri tidak kira masalah yang dialami, golongan individu ini diperkasa untuk mengembalikan penguasaan dan makna kehidupan mereka. Susan Warner, 57 tahun, seorang atlit Invictus dari United Kingdom, menyatakan: “Sukan ialah penyelamat hidup saya. la telah membantu saya untuk kembali menjalani hidup dengan aktif, menemui mana dalam kehidupan dan memperbaharui persediaan mental untuk menghadapi masa depan.”

Dalam acara berbentuk kompetitif ini, objektif utama bukanlah terletak kepada kemenangan saja. Namun, kemenangan yang diharapkan mengambil bentuk yang lebih abstrak, iaitu kemenangan dalam mengatasi had-had diri akibat penyakit atau keparahan yang dihidapi.

Selain itu, sukan juga menyediakan tempat bagi seseorang untuk bertemu dengan individu-individu seperjuangan. Ini membuahkan potensi untuk membina hubungan yang positif bersama anggota masyarakat yang lain setelah sekian lama terpinggir atau sengaja bersendirian akibat kepelbagaian masalah yang dialami.

Walaupun sukan berupaya untuk mencetus pelbagai perubahan positif, segelintir golongan atlet masih didepani cabaran dalam usaha mencapai impian mereka. Dalam beberapa negara yang bersifat patriarki, undang-undang dalam sukan merupakan sebuah alasan bagi sebahagian masyarakat untuk mengehadkan penyertaan golongan wanita Islam dalam sukan-sukan seperti geluncur ais, dengan sebab sukan tersebut melanggar syariat pakaian Islam bagi wanita.

Namun begitu, baru-baru ini media arus utama telah mengutarakan kisah Zahra Lari, seorang peluncur ais berbunga kompetitif dari Emiriah Arab Bersatu yang sedang berusaha untuk mewakili negaranya dalam acara Olimpik dalam sukan tersebut, tanpa mengkompromi pemakaian hijab dan pakaian yang menutup auratnya. Walaupun penglibatannya ini bukanlah sesuatu yang diizinkan oleh bapanya pada mulanya, semangat dan cintanya yang mendalam terhadap sukan ini membantunya untuk mengatasi cabaran tersebut.

Di Amerika Syarikat pula, Ibtihaj Muhammad, seorang wakil negara dalam sukan bermain pedang, mencatat sejarah sebagai wakil wanita pertama Amerika Syarikat yang berhijab sewaktu bertanding. Ibtihaj berjaya meraih pingat gangsa, namun satu lagi pencapaian yang dapat dibanggakan ialah pegangannya kepada prinsip agama yang dipercayai, meskipun tentunya ada cabaran yang harus diatasi dalam iklim sebuah negara yang berbaur Islamofobia.

Dilihat dalam perspektif begini, iklim sukan dalam zaman globalisasi ini sungguh dinamik dan mencerminkan pelbagai isu-isu sosial yang wajar diberi perhatian dan dibincangkan.

Sukan merupakan sesuatu yang universal, dan sifat ini harus menjadi faktor yang menyatukan individu-individu yang latar belakangnya amat pelbagai. Dalam pengendalian dan pengurusannya, sukan tidak wajar dijadikan sebab untuk mencetus pembelahan golongan-golongan yang berbeza. Tanggungjawab untuk menggunakan sukan ke arah kebaikan yang bersifat inklusif harus dipikul oleh bahu kita sendiri agar mereka yang terpinggir atau dibelenggu masalah dapat menemukan sinar kehidupan sekali lagi dengan sukan yang memperkasa.

Sports Banner Background, 380000+ Best Banner Images Free Download- Pngtree

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Agenda: Air