Singapura merupakan sebuah negara yang lebih dikenali sebagai “Titik Merah Yang Kecil” atau “The Little Red Dot”. Tanah air kita yang kecil dan isu mengenai ketiadaan sumber asli selalu ditekankan oleh pihak pemerintah. Salah satu cabaran yang kita hadapi berkaitan dengan isu air. Namun, generasi muda kita hari ini rata-rata tidak pernah mengalami masalah kekurangan air walaupun sebenarnya sumber air kita amat terhad.
Walaupun Singapura mampu menyediakan air yang bersih melalui setiap paip di rumah, kita sebenarnya terlalu bergantung kepada negara jiran bagi meringankan beban ini. Singapura telah menandatangani Perjanjian Air 1961 dan 1962 yang berjangka panjang antara Singapura dan Malaysia. Dalam Perjanjian Air 1961, Singapura diberikan hak mutlak mengambil air dari Gunung Pulai, Sungai Tebrau dan Sungai Skudai. Sebagai ganti, Singapura pula akan membekalkan air yang telah dirawat air kepada Johor. Perjanjian 1961 ini bagaimanapun berakhir pada Ogos 2011. Perjanjian Air 1962 pula memberikan hak mutlak kepada Singapura untuk mendapatkan air dari Sungai Johor. Namun, perjanjian yang berakhir pada tahun 2061 ini masih belum dapat diperbaharui. Justeru itu, untuk mengurangkan kebergantungan Singapura pada air yang diimport pihak pemerintah Singapura telah mengambil langkah memperbesar kawasan takungan air setempat serta meningkatkan bekalan daripada sumber-sumber lain seperti air yang dipulih iaitu AirBaru (NEWater) dan juga air sulingan.
Selain daripada masalah kekurangan sumber air sendiri, kita juga turut mengalami masalah yang melanda masyarakat dunia secara amnya iaitu masalah pemanasan bumi. Suhu bumi yang semakin meningkat mengakibatkan kemarau panjang di beberapa negara seluruh dunia. Kolam takungan air Linggiu di Johor kini juga semakin kering. Justeru itu adalah sangat penting bagi rakyat Singapura untuk memahami kegawatan masalah sumber air yang kita hadapi bersama ini.
Baru-baru ini pihak pemerintah telah mengumumkan kenaikan harga air sebanyak 30 peratus untuk menangani masalah ini. Kenaikan ini dikatakan adalah untuk memberikan gambaran sebenar tentang nilai sumber yang amat terhad ini. la juga bertujuan untuk menampung kos pembangunan prasarana sumber air tempatan. Sudah tentu pengumuman ini membimbangkan rakyat Singapura yang semakin tertekan dengan kos kehidupan yang tinggi. Bagaimanapun, pihak pemerintah telah menekankan bahawa keluarga berpendapatan rendah akan menerima rebat U-Save dan sokongan-sokongan lain untuk memastikan kenaikan harga ini tidak menjadi beban untuk mereka.
Selain daripada itu, pihak pemerintah Singapura juga giat menjalankan program-program pendidikan bersama pihak sekolah bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjimatkan air. Pada 1 Mac 2017, Menteri Persekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli, mengadakan sesi percatuan air di Sekolah Menengah Woodgrove. Dalam jangka masa 4 jam, sumber air di sekolah ditutupkan bagi menggalakkan para pelajar mengambil air menggunakan baldi bagi melakukan aktiviti harian mereka seperti mencuci tangan dan sebagainya. Sekolah Menengah Woodgrove merupakan salah satu daripada 45 buah sekolah yang akan menyertai program ini.
lbu bapa juga bertanggungjawab mendidik anak-anak di rumah mengenai kepentingan dan cara-cara menjimatkan air. Amalan-amalan mudah seperti menutup paip semasa memberus gigi dan bersabur harus dijadikan kebiasaan. Jika mampu, tukarlah kepala paip dan pam tandas kepada jenis yang dapat mengurangkan penggunaan air. Air bilasan dari mesin pembasuh pula boleh digunakan untuk mencuci tandas.
Secara tuntasnya, walaupun kenaikan harga air bukanlah sesuatu yang kita inginkan, namun mungkin ini merupakan satu langkah yang pastinya akan memaksa kita untuk menjimatkan air. Jika setiap warga Singapura memainkan peranan mereka menjimatkan air maka pasti kita akan dapat menangani kegawatan ini.