Panduan Pelajar

Mengatasi Gangguan dalam Pelajaran

olehSiti Syazana Abdul Halim
March 2024

Setelah masa bercuti beredar pergi, tiba pula masa persekolahan. Namun, mungkin ada yang masih memikirkan tentang percutian dan beristirahat. Walaupun hal ini lazim berlaku, para pelajar harus pandai mengawal emosi dan fikiran agar dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Gangguan mengalihkan perhatian seseorang daripada satu perkara kepada sesuatu yang lain. la boleh berpunca daripada faktor dalaman seperti kesihatan yang kurang baik atau luaran seperti telefon bimbit. Langkah pertama untuk mengembalikan konsentrasi adalah mencari punca gangguan dalam pelajaran lalu mengambil langkah untuk mencegahnya.

Kesihatan memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran kerana ia menjejas prestasi seseorang pelajar. Para saintis yang membuat kajian tentang tidur mendapati bahawa kekurangan tidur menyebabkan kurangnya kecerdasan. Pasti para pelajar pernah mengalami keadaan mengantuk semasa kelas dijalankan akibat kekurangan tidur. Ini adalah kerana sebuah mekanisme badan yang dinamakan ‘biological clock’ terganggu jika seseorang memaksa diri untuk berjaga sehingga larut malam. Akibatnya, seseorang akan berasa ngantuk pada siang hari dan tidak berupaya untuk memberikan tumpuan. Lantaran itu, setiap orang disarankan untuk tidur sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam sehari. Para pelajar harus mendapat rehat yang secukupnya agar tubuh badan serta minda kekal segar sepanjang hari, terutamanya semasa kelas dijalankan. Salah satu cara untuk menghindar daripada tidur lewat adalah dengan menghabiskan kerja rumah seawal mungkin. Elak daripada membuat kerja rumah pada saat akhir.

Selain itu, gangguan emosi juga merupakan sebuah gangguan dalaman. Ketidaktenteraman emosi boleh disebabkan oleh tekanan. Pelajar yang tertekan tidak mampu memberikan perhatian yang sepenuhnya kerana minda berkecamuk. Memang tidak dapat dinafikan bahawa jangkaan pada pelajar semakin tinggi. Malah, peperiksaan bertambah sukar dan memerlukan dava pemikiran yang kuat. Walau bagaimanapun, para pelajar harus mempunyai semangat yang kental untuk mengharungi segala rintangan. Misalnya, pada masa kini, kegagalan sering menyebabkan timbulnya perasaan tertekan. Lantas, fikiran akan bercelaru memikirkan tentang kelemahan diri. Apabila perkara ini berlaku, pelajar tidak akan mempunya motivasi untuk belajar lall hilang tumpuan pada pelajaran. Sebaliknya, pandang kegagalan sebagai satu pelajaran, bukan sebagai sebuah jalan yang buntu. Jadikan ia sebagai motivasi untuk memperbaiki diri serta meningkatkan prestasi. Jika mempunyai sebarang masalah, mintalah bantuan yang sewajarnya. Contohnya, meminta penjelasan daripada guru jika mempunyai keraguan tentang sesebuah topik pelajaran. Minda yang positif dan emosi yang stabil dapat membantu mengembalikan fokus.

Gangguan luaran yang paling dominan dalam hidup pelajar kini adalah telefon bimbit. Telefon bijak yang dihasilkan dengan teknologi yang canggih mempunyai pelbagai fungsi. Salah satu fungsi yang bermanfaat ialah fungi melungsuri laman sesawang yang berbeza. Malangnya, ramai yang menjadi taksub dengan fungsi ini sehingga lupa akan tanggungjawab yang utama, iaitu pelajaran bagi para pelajar. Tambahan pula, aplikasi media sosial seperti Twitter, Instagram dan Snapchat menarik perhatian pelajar. Malah, ada yang menggunakan telefon bimbit di dalam kelas untuk mengemaskinikan status dalam media sosial. Oleh itu, ilmu yang disampaikan oleh guru tidak diserap ke dalam minda. Hakikatnya, alat peraga yang berteknologi canggih seperti telefon bimbit merupakan pengaruh yang kuat dalam hidup pelajar. Peranan pelajar adalah untuk menggunakannya sebaik mungkin dan mempunyai kawalan yang sewajarnya. Contohnya, gunakan telefon bimbit untuk mendapatkan informasi yang bermanfaat tetapi elak menggunakannya di dalam kelas ketika guru sedang mengajar. Bukan sahaja sebagai tanda hormat kepada guru, tetapi juga agar tumpuan mereka tidak dialihkan kepada sesuatu yang tidak penting. Semasa musim peperiksaan, hadkan penggunaan telefon bimbit agar dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada ulang kaji.

Selain itu, rakan-rakan juga boleh menjadi satu bentuk gangguan luaran. Para pelajar harus bijak membahagikan masa untuk bermain, belajar dan meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan. Teman untuk bermain tidak semestinya baik untuk dijadikan sebagai teman ulang kaji. Sebagai contoh, rakan yang sering berbual atau mengajak untuk bermain tidak seharusnya dijadikan sebagai teman ulang kaji. Ini tidak bermakna persahabatan harus diputus. Rakan yang baik akan memahami bahawa setiap orang belajar secara berbeza. Ada yang lebih suka belajar secara beramai-ramai dan ada pula yang lebih suka belajar secara bersendirian. Lantaran itu, cari cara yang paling sesuai untuk belajar dan pilih teman yang tidak akan menjadi sebuah gangguan.

Sebenarnya, gangguan dalam pelajaran bukan sesuatu perkara yang ganjil. Malah, gangguan dalaman mahupun luaran adalah sesuatu yang kerap berlaku. Namun, gangguan dalam pelajaran dapat diatasi dengan disiplin diri. Para pelajar harus tahu apa yang menyebabkan pengalihan tumpuan dan ambil langkah yang sewajarnya untuk mencegahnya. Fokus dalam pelajaran penting untuk mencapai kejayaan.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Mengembangkan Pemikiran

Kesedaran dan Keyakinan Diri